Isnin, 19 Ogos 2019

Kesian pihak berkuasa Malaysia




Di Malaysia, apabila berlaku apa-apa isu hangat yang sukar diselesaikan, ahli politik kerajaan akan memilih jalan keluar dengan menyerahkan isu tersebut kepada siasatan pihak berkuasa.

Strategi ini dilakukan dengan harapan, masa menunggu selesainya siasatan terhadap isu hangat itu akan menyejukkan suhu ingin tahu rakyat terhadap isu tersebut. Dan ketika itu juga, akan timbul polemik baru yang mengalihkan perhatian rakyat.

Contohnya, dalam skandal seks sejenis yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, rakyat awam tidak lagi memburu dan membangkitkan status siasatan kes ini.

Kali terakhir kes ini disebut secara umum ialah setelah pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa dan Haziq Aziz dilepaskan daripada reman pihak polis pada 23 Julai yang lalu.

Sehari selepas itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata Pejabat Peguam Negara akan memutuskan sekiranya Azmin perlu ditahan selepas menerima kertas siasatan berhubung skandal video seks yang didakwa melibatkan menteri itu.

Apa yang diketahui setakat ini ialah polis mengesahkan video tersebut tulen namun salah satu pelakonnya tidak boleh disahkan meskipun Haziq mengaku sebagai salah seorang pelakon di dalamnya.

Siasatan polis juga dilihat ditumpu kepada dalang penyebaran video seks tersebut. Namun sehingga kini, tiada siapa yang tahu apakah hasil siasatan isu ini mahupun apakah akan ada pendakwaan yang bakal dilakukan.

Situasi yang sama juga melanda kes rogol pembantu rumah yang melibatkan seorang exco Perak dari Pakatan Harapan. Perkara yang paling menimbulkan perbualan rakyat dalam kes ini ialah bagaimana tertuduh tidak direman meskipun sehari oleh polis.

Namun begitu, sifat ingin tahu rakyat terhadap kes ini sudah pudar. Setakat yang diketahui umum, siasatan kes ini masih di tangan polis. Kali terakhir kita mendengar isu ini dibangkitkan ialah pada 9 Ogos di mana rakyat dimaklumkan kes dipulangkan kali kedua kepada polis oleh Pejabat Peguam Negara untuk dilengkapkan.

Mengapa rakyat hilang tumpuan kepada kedua-dua kes ini?

Ini kerana secara “kebetulan”, ketika menunggu hasil siasatan pihak berkuasa, perhatian rakyat dialih kepada isu panas yang membangkitkan emosi perkauman seperti tulisan khat jawi, kontroversi yang melanda Zakir Naik dan penghinaan terhadap angkatan tentera oleh ahli perniagaan Koon Yew Yin – yang “kebetulan” datang secara bersiri sepanjang 3 minggu yang lepas.

Sepanjang 3 minggu yang lepas, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) menimbulkan kontroversi ekoran kenyataannya yang mengaitkan pengenalan tulisan khat jawi di sekolar vernakular dengan Islamisasi. Kontroversi yang melanda Zakir akibat laporan media yang mensensasikan kata-kata yang kurang enak beliau kepada beberapa pimpinan kerajaan bukan Islam yang sentiasa menggesa beliau diusir dari Malaysia manakala Koon pula dihujani kemarahan rakyat ekoran tulisannya yang bersifat menghina peranan angkatan tentera.

Seperti yang dijangka, kes ini diserahkan kepada pihak berkuasa oleh ahli politik kerajaan yang kelihatan tersepit untuk menyatakan pendirian masing-masing dalam isu panas ini.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan polis kini sedang menyoal siasat Dong Zong; Koon dan Zakir rentetan beberapa laporan polis yang dibuat terhadap ketiga-tiga pihak terbabit.

Strategi menyerahkan isu sensitif ini kepada siasatan pihak berkuasa tidak lain tidak bukan bertujuan meredakan emosi rakyat. Apabila emosi rakyat reda, sudah pasti akan timbul isu yang baru yang bakal mengalihkan perhatian mereka.

Strategi ini juga memudahkan ahli politik kerajaan menjawab pertanyaan wartawan apabila ditanya pendirian mereka mengenai isu panas terbabit. Mereka hanya perlu menjawab mengikut skrip ini: “Kita tunggu hasil siasatan pihak berkuasa.”

Nasib baik, ahli politik kerajaan tidak boleh menyerahkan masalah ekonomi rakyat dan negara kepada siasatan pihak berkuasa.

Jika tidak, sudah pasti pihak berkuasa akan diarah menyiasat mengapa penjualan dana asing saham tempatan di Bursa Malaysia terus meningkat untuk 4 minggu berturut-turut kerana ahli politik kerajaan buntu menyelesaikan krisis keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Pendek kata, kesian betul pihak berkuasa Malaysia!

Tiada ulasan: