Selasa, 13 Ogos 2019

Dong Zong penghasut kebencian kaum: Presiden Isma

siti hafidah 

 

Kenyataan Tun M cukup buktikan sikap rasis kumpulan pendesak Cina

BANGI– Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sudah cukup membuktikan sikap dan pemikiran kumpulan pendesak itu, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Dr Mahathir hari ini menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk berkaitan isu tulisan khat dan jawi di sekolah.

Beliau dilaporkan berkata, selain isu berkenaan, kumpulan itu juga sebelum ini pernah membantah penubuhan Sekolah Wawasan.

“Dong Zong ini rasis, kita buat sekolah satu kampus Sekolah Wawasan nak letak Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus, mereka tidak mahu.

“Sebabnya (mereka) takut anak-anak dia bercampur dengan Melayu, jadi dia tidak mahu. Semuanya (yang dilaksanakan kerajaan) dia bantah, tidak pernah bersetuju dengan apa pun,” kata Dr Mahathir.

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin berkata, ramai orang Cina yang tidak ada masalah dengan orang Melayu, tetapi Dong Zong yang menghasut kebencian kaum dalam kalangan masyarakat Cina.

“Saya biasa berdialog dengan pimpinan-pimpinan Dong Zong dan jelas daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat melihatkan kesombongan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Aminuddin berkata, beliau hairan dan terkedu apabila ada pihak Melayu masih percaya serta menghormati Dong Zong sedangkan kumpulan itu selalu merendah-rendahkan sistem sekolah nasional.

“Pelik tetapi benar. Nasihat saya kepada mereka ini, berkadarlah dalam memberi kepercayaan. Jangan hanya kerana mahu sokongan, kita menggadaikan prinsip,” katanya.


Tiada ulasan: