Selasa, 13 Ogos 2019

76,666 tandatangan tuntut Dong Zong diharamkan

siti hafidah

 

Kumpulan pendesak fitnah pelaksanaan tulisan jawi usaha Islamisasi

BANGI– Petisyen bagi mendesak kerajaan mengharamkan kumpulan pendesak Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang dilancarkan sejak Ahad, kini sudah mencecah lebih 76,000 tandatangan.

Gerakan Pengundi Sedar (GPS) yang menggerakkan petisyen berkenaan antara lain mempertikaikan usaha kumpulan pendesak Cina itu menentang keputusan kerajaan memperkenalkan khat tulisan jawi untuk pelajar tahun 4 di semua sekolah termasuk sekolah vernakular.

“Baru-baru ini, kerajaan mahu memperkenalkan tulisan jawi dan khat di sekolah vernakular kerajaan (SJKC dan SJKT) untuk pelajar tahun 4.

“Dong Zong merupakan antara paling awal bermati-matian menentangnya dengan menekan kerajaan dengan pelbagai tuntutan. Mereka juga mengumpulkan NGO-NGO Cina dan India dan menghasut mereka menentang usaha ini.

“Akhirnya kerajaan bertolak ansur dengan melonggarkan syarat-syarat implementasinya sehingga pembelajaran ini menjadi pilihan (optional) dan setakat tiga muka surat dalam buku teks,” kata GPS dalam petisyen berkenaan.

GPS berkata, kumpulan pendesak itu bahkan tidak berpuas hati dengan tolak ansur kerajaan dan cuba bermain dengan sentimen agama pula, apabila memfitnah tulisan jawi dan khat sebagai satu usaha Islamisasi masyarakat bukan Islam.

“Kini, mereka mahu gerakkan satu petisyen membantah tulisan jawi. Ini menimbulkan fitnah yang besar kepada negara terutamanya umat Islam di Malaysia.

“Selain itu, mereka menuntut agar sijil peperiksaan persendirian (UEC) diterima sebagai tiket untuk masuk ke universiti awam (IPTA) walaupun kerajaan sudah memberikan ruang untuk mereka masuk ke universiti swasta dan universiti kerajaan negeri,” katanya.

Setakat jam 11 pagi tadi, seramai 76,666 orang telah menandatangani petisyen berkenaan di platform change.org


Tiada ulasan: