Dua keluarga terpaksa batal hasrat sambut Aidiladha di kampung
GEORGE TOWN
– Dugaan buat dua keluarga di pangsapuri Mutiara Idaman 1 apabila
terpaksa melupakan hasrat menyambut Hari Raya Aidiladha, selepas bumbung
rumah mereka rosak akibat ditiup angin kencang malam tadi.
Yusliani Ali, 35, suri rumah berkata,
beliau dan keluarganya memang merancang balik ke kampung halamannya di
Selangor untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pagi ini, tetapi kejadian
malam tadi memaksa mereka melupakan hasrat itu.
Beliau berkata, angin kencang yang
berlaku sejak 10 malam tadi mengakibatkan bumbung dan siling rumah roboh
sehingga menyebabkan kebocoran ketika hujan.
“Kami bernasib baik ketika kejadian malam
tadi, tiada orang di rumah. Kami memang sudah “packing” pakaian siap
dengan juadah raya untuk bertolak balik kampung pagi ini, tetapi kini
terpaksa beraya di sini untuk kerja-kerja pembersihan,” katanya ketika
ditemui pemberita di sini, hari ini.
Yusliani, yang duduk bersama suami dan
dua orang anak berumur 16 dan 11 tahun berkata, kejadian malam tadi
adalah kali ketiga berlaku di unitnya tingkat 20 pangsapuri berkenaan.
“Ini adalah kejadian terburuk pernah
berlaku sejak kami pindah ke rumah ini pada tahun 2003 dan telah
menyebabkan banyak perabot, peralatan elektrik dan hiasan rumah untuk
Hari Raya Aidiladha rosak,” katanya.
Seorang lagi jiran sama tingkat, Mohd
Fadzli Mazlan, 32, seorang pengawal keselamatan berkata, masa kejadian
beliau sedang makan di ruang tamu kira-kira 10 malam, tiba-tiba siling
rumahnya bergegar dan mula retak.
“Saya terus jerit kepada anak dan isteri untuk keluar dari rumah kerana bumbung rumah sudah nak roboh.
“Sejurus saja kami keluar dari rumah, bumbung termasuk siling sekali roboh menyebabkan rumah kami dimasuki air hujan,” katanya.
Beliau berkata, isterinya, Nurul Kamsiah
Samat yang berniaga kecil-kecilan membuat kuih terpaksa membatalkan
tempahan daripada pelanggan.
“Juadah kuih raya yang kami sediakan
untuk pelanggan sempena Hari Raya Haji ini pun rosak. Kerugian yang
dialaminya kira-kira RM10,000,” katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan