TARIKH 12 Ogos 2019.
Jam 10 malam. Lokasi di pos pemeriksaan Imigresen sempadan Burundi- Rwanda.
Sepasang suami isteri sabar menanti giliran pasport merah mereka dicop.
Keadaan malam sangat sunyi. Hanya kedengaran ketukan papan kekunci dari sebuah komputer usang dan berhabuk.
Seorang pegawai Imigresen wanita memerhati atas bawah kelibat mereka berdua.
Setelah bertanyakan beberapa soalan, pegawai itu tersenyum. Dengara suara perlahan, dia berkata kepada suami isteri tadi: “Welcome to Rwanda”.
Azhar Ab Shukor dan isterinya, Nor’adzimah Hassanuddin menarik nafas panjang.
Mereka berdua tahu, setelah mengharungi perjalanan lebih empat jam dengan kenderaan pacuan empat roda dari Burundi, sebuah lagi negara Afrika yang mundur, mereka tidak mampu lagi untuk berpatah balik.
Iltizam dan keazaman mereka berdua apabila menubuhkan EZ Qurban lebih 11 tahun lalu untuk membantu umat Islam yang miskin dan merana di seluruh dunia dengan cara melakukan ibadah korban tak mungkin dapat ‘dibunuh’ hanya kerana masalah birokrasi manusia.
Walau riak muka Azhar nampak kepenatan, namun dia masih kelihatan bertenaga walaupun usianya melebihi separuh abad.
Anak jati Sungai Besar, Selangor ini memiliki Ijazah Sarjana Muda Kuliah Hadis dan Pengajian Islam di Jamiah Abi Bakr Islamiyah, Karachi, Pakistan dan pernah bertugas sebagai pembantu Mufti di Kemboja pada tahun 2003.
Pengalamannya melihat bagaimana susahnya penduduk Islam di sana untuk menikmati walau secubit daging korban telah menyuntik semangat beliau untuk menubuhkan EZ Qurban pada 3 April 2007.
EZ Qurban merupakan sebuah syarikat yang mengkhususkan perkhidmatan perlaksanaan ibadah korban dan akikah serta perkhidmatan sampingan yang lain seperti fidyah, zakat, derma dan wakaf.
Mereka menawarkan kemudahan kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya dalam pelaksanaan ibadah akikah dan korban agar lebih mudah dan cepat.
Sejak menubuhkan EZ Qurban, Azhar menyimpan ltizam agar syarikatnya menjadi satu jenama perkhidmatan akikah dan korban yang diyakini dan profesional disamping dapat membantu umat Islam luar negara yang lebih memerlukan.
” Nama syarikat kami EZ…bunyinya ‘easy’ tetapi perjalanannya bukan semudah yang disangkakan. Amanah orang yang membeli bahagian-bahagian lembu untuk dikorbankan di negara-negara Islam yang miskin dan mundur ini bukan satu perkara yang boleh diambil mudah.
” Sebab itu kami mempunyai sistem perisian yang terkini bagi memastikan mereka yang membeli bahagian-bahagian lembu itu tahu di manakah lokasi lembu mereka dikorbankan, setiap penyembelihan dikawal selia oleh staf kami sendiri di seluruh dunia dan setiap peserta korban juga diberi sijil selepas selesai ibadah korban dijalankan.
” Bagi memastikan para peserta kami berpuas hati, ramai di antara mereka turut sama diberi peluang untuk bersama-sama staf kami melihat sendiri ibadah korban yang kami jalankan untuk mereka,” kata Azhar yang tidak jemu-jemu bercerita mengenai keazamannya.
Menurut Azhar, bukan mudah untuk mereka sampai ke peringkat sekarang kerana pelbagai sangkaan negatif termasuk dituduh memperdagangkan agama apabila beliau mengambil inisiatif menjalankan urusan ibadah korban ini.
Malah beliau juga pernah dituduh menjadi penyebab berkurangnya ibadah korban di dalam negara apabila giat menjalankan korban di luar negara.
” Saya tidak pernah berkata buat korban di tempat sendiri tidak bagus, bahkan saya sentiasa menggalakkan umat Islam berbuat demikian namun sekiranya mereka tidak mampu mengeluarkan wang yang banyak untuk satu bahagian lembu di dalam negara, atau berhajat untuk buat korban di tempat umat Islam yang daif dan melarat, kita jangan larang mereka untuk berbuat demikian,” ujarnya.
Setia bersama Azhar adalah isterinya Nor’adzimah. Selain memastikan makan minum dan urusan harian Azhar dalam program korban di bumi Afrika itu berjalan lancar, Nor’Adzimah juga memainkan peranan besar dalam hubungan sesama manusia khususnya yang melibatkan golongan muslimah di negara terlibat.
Acapkali apabila sampai di satu-satu perkampungan atau destinasi, Nor’Adzimah akan terus menyantuni golongan wanita di sana, bersalaman dan bertanya khabar termasuk bermesra dengan anak-anak mereka hingga misi ibadah korban di bumi Afrika ini menjadi semakin mudah dan ‘mesra’ di kalangan penduduk tempatan.
Setelah bertahun mengikut suaminya menjalankan misi ibadah korban di luar negara, Nor’Adzimah langsung tidak kelihatan kekok untuk bersama-sama golongan wanita dan anak-anak mereka walaupun jauh di benua Afrika termasuk juga di khemah-khemah pelarian yang dikawal oleh para anggota tentera bersenjatakan rifel automatik AK-47.
Kisah Azhar dan Nor’Adzimah tak ramai yang tahu namun mereka tetap setia menunaikan ibadah korban ini tanpa perlu limpahan lampu kamera dan pulisiti di sana dan sini.
Yang mereka berdua tahu, amanah orang mesti mereka tunaikan.
Yang mereka tahu, umat Islam yang daif dan melarat perlu diberi peluang merasa daging korban walau jauh di seberang benua dan lautan.
Untuk rekod, sejak penubuhannya, EZ Qurban sudah melaksanakan ibadah korban termasuk Kemboja, Bangladesh, Vietnam, Indonesia, Laos, Thailand, India, Myanmar, Chad, Ivory Coast, Kenya, Malawi, Mali, Morocco, Palestin, Filipina, Arab Saudi, Somalia, Sri Lanka, Tanzania, Uzbekistan, Congo, Burkina Faso, Rwanda, Burundi, Nigeria, Ethiopia, Pakistan, Somaliland, Sudan, Yaman, Kyrgyzstan, Nepal dan Ghana.
Kepada Azhar dan Nor’Adzimah – anda memang luar biasa! – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan