Khamis, 11 April 2019

Isu curi pasir: ‘Ada exco cuba jadi hero’ – Bekas MB Melaka

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyelar sikap kerajaan negeri yang hanya pandai mengkritik BN.

“Dapat maklumat ada seorang Exco Kerajaan Negeri Melaka cuba jadi hero tentang kes pasir di Melaka, jelas terbukti dia adalah seorang yang tak de akal dan sifar pengetahuan.

“Asal sikit dia nak salahkan Kerajaan terdahulu dan macam dah takde modal lain nak sorok kesalahan mereka sendiri,” katanya dalam entri terbaru di laman rasmi Facebook beliau.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan berita mengenai aktiviti sebuah syarikat yang terbabit dalam pengorekan pasir laut di negeri Melaka.

Pada Ahad, media melaporkan syarikat terbabit didakwa bermain ‘silap mata’ dengan kerajaan negeri apabila dipercayai melanggar syarat permit serta menjual hasil pasir berkenaan untuk kegunaan projek perumahan.

Kegiatan itu terbongkar selepas aduan dibuat orang awam yang curiga dengan kehadiran lori yang keluar masuk ke kawasan itu.

Mereka mendakwa, walaupun operasi pengorekan pasir hanya dibenarkan antara 7 pagi hingga 7 malam, namun ia didapati berlangsung dalam tempoh 24 jam.

Malah, puluhan lori turut kelihatan keluar masuk ke kawasan premis itu untuk mengambil pasir sebelum dibawa keluar.

Bertindak atas aduan diterima, Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Norhizam Hassan Baktee mengetuai operasi intipan ke atas premis berkenaan di Tanjung Kling, yang turut disertai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Perikanan serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), malam Sabtu.

Norhizam mendakwa, berdasarkan semakan, syarikat itu diberikan permit pengorekan pasir bagi penurapan pembinaan jalan raya pada penghujung 2018 namun dipercayai disalah guna.

Tambah Idris lagi: “Permit pasir ni dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dan pengusaha pasir ini diberikan permit sejak dari November 2018.

“Selak balik kalender dan tengok siapa yang sedang jadi kerajaan bila permit ini dikeluarkan.
“Apa muka mereka ni semua memang jenis tak tahu malu ke?” tambah beliau.

Tiada ulasan: