Khamis, 11 April 2019

Henti buat bising, jangan sibuk – Sultan Johor

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Sultan Johor bertitah mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, sebaliknya pihak tersebut harus tumpukan kepada usaha menjaga negara.

“Saya kini berada di luar negara tetapi sentiasa mengikuti perkembangan dalam negara terutama Negeri Johor melalui laporan-laporan semua pihak.

“Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara.

“Saya akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang Sultan,” titahnya menerusi akaun Facebook rasminya hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelantikan pemangku Menteri Besar Johor akan dilakukan secepat mungkin.

Katanya pada masa ini, terdapat beberapa senarai calon untuk jawatan itu, namun menegaskan ia akan mengambil sedikit masa.

“Kita nak tentukan calon. Ada beberapa calon kita nak pilih tetapi ia ambil masa sedikit, tetapi kita akan pilihnya secepat mungkin,” katanya selepas merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2019 (KLIFF 2019) di sini hari ini.

Semalam, Dr Mahathir memaklumkan bahawa Datuk Osman Sapian telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor.

Perdana Menteri berkata Osman menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, ditanya pihak mana yang akan membuat keputusan berhubung pemilihan calon Menteri Besar Johor, Dr Mahathir berkata: “Ini adalah hal politik…Tugas sekarang adalah kepada parti yang menang pilihan raya untuk menentukan siapa yang memimpin.”

Tiada ulasan: