Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminda Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 sebelum ini bukan salah Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RUU tersebut jelas tidak memperjuangkan aspirasi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 kerana hanya menggariskan dua kategori negeri-negeri Persekutuan.
“Apa maknanya itu? Sepatutnya tujuan pindaan RUU itu untuk memastikan kepentingan Sabah Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963, seperti perjanjian pembentukan Malaysia dulu.
“Bahkan, memorandum mengenai pindaan RUU ini sepatutnya di bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak terlebih dahulu, sebab ini kepentingan mereka,” katanya di Parlimen, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdahulu menuding jari menyalahkan BN dan UMNO atas kegagalan kerajaan untuk meminda RUU yang diusulkan perdana menteri di Dewan Rakyat.
Keseluruhan blok pembangkang termasuk UMNO, PAS dan GPS mengambil tindakan berkecuali, mengakibatkan hanya 138 daripada 221 wakil rakyat yang menyokong pindaan tersebut.
RUU itu kemudiannya gagal mendapat bacaan kali ketiga berikutan tidak mendapat sokongan dua pertiga seperti yang diperlukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan