Rabu, 3 April 2019

Bajet tambahan RM19.6 bln tidak jejas sasaran fiskal 3.7%

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata perbelanjaan tambahan sebanyak RM19.6 bilion, tidak akan menjejaskan sasaran defisit fiskal 3.7 peratus yang telah ditetapkan kerajaan bagi 2018 kerana ia merupakan sebahagian daripada perbelanjaan sebenar bagi tahun berkenaan.

Semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Pertama 2018 untuk bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat, hari ini, beliau mengumumkan sasaran fiskal itu telah pun berjaya dicapai.

“Dengan sukacitanya, saya memaklumkan Dewan yang Mulia bahawa sasaran fiskal 3.7 peratus telah pun berjaya dicapai,” kata Lim.

Beliau berkata, daripada anggaran perbelanjaan tambahan RM19.6 bilion, RM15.49 bilion merupakan perbelanjaan pembangunan dan RM4.13 bilion lagi merupakan perbelanjaan mengurus.

“Seperti yang dijelaskan, RM6.3 bilion merupakan komitmen kerajaan terdahulu yang tidak disediakan peruntukan dan RM4.3 bilion merupakan peruntukan tambahan yang diperlukan untuk bayaran khidmat hutang di luar kunci kira-kira yang dipinjam oleh kerajaan terdahulu.

“Baki sebanyak RM9 bilion pula bukan merupakan perbelanjaan tambahan, sebaliknya adalah pengklasifikasian semula perbelanjaan, terutama perbelanjaan mengurus kepada pembangunan,” katanya.

Ini termasuk perbelanjaan RM2 billion bagi pembiayaan pengajian pelajar di dalam dan di luar negara di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), bayaran balik pinjaman Dana Infra sebanyak RM1 bilion serta bayaran khidmat hutang Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) sebanyak RM3.9 bilion.

Selain peruntukan mengklasifikasikan semula perbelanjaan, sebanyak RM1.9 bilion juga diperuntukkan untuk pindahan lebihan hasil kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Katanya, secara keseluruhan perbelanjaan sebenar 2018 bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM289 bilion berbanding RM280 bilion yang telah diluluskan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.

“Perlu ditegaskan bahawa peningkatan perbelanjaan sebanyak RM9 bilion adalah ekoran tindakan kerajaan terdahulu dan bukan disebabkan Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Justeru, katanya berikutan peningkatan perbelanjaan tersebut, RM6 bilion perlu disediakan untuk membiayai komitmen perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu tetapi tanpa disediakan peruntukan.

Komitmen tersebut termasuk, pengambilalihan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor bernilai RM1.4 bilion berikutan keputusan kerajaan terdahulu memansuhkan tol pada hujung 2017.

“Di samping itu, pelbagai projek pembangunan sambungan tidak disediakan peruntukan yang mencukupi seperti Projek Landasan Berkembar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebanyak RM1 bilion, penyediaan pinjaman mudah untuk lebuh raya RM0.5 bilion dan projek pembentungan RM0.4 bilion.

“Selain itu, kerajaan terdahulu juga tidak menyediakan peruntukan mencukupi bagi perbelanjaan mengurus walaupun ia merupakan bayaran kontraktual seperti perkhidmatan sokongan hospital RM0.5 bilion, kontrak pembersihan dan keselamatan sekolah RM0.3 bilion dan kontrak penyelenggaraan pesawat TUDM RM0.1 bilion,” tambah Lim.

Selain itu, bayaran khidmat hutang di luar kunci kira-kira juga memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM4 bilion.

“Ada pihak yang cuba mendakwa kerajaan sekarang berbelanja lebih daripada kerajaan terdahulu dan menanggung defisit yang lebih tinggi. Hakikatnya, defisit belanjawan yang dicapai pada tahun- tahun sebelum ini tidak menggambarkan defisit sebenar.

“Sebahagian daripada perbelanjaan kerajaan terdahulu disembunyikan melalui perbelanjaan yang dibiayai secara pinjaman di luar kunci kira-kira. Pinjaman tersebut tiada sumber untuk dibayar balik selain daripada kerajaan,” katanya.

Antara peruntukan yang diperlukan bagi bayaran khidmat hutang di luar kunci kira-kira adalah seperti bayaran Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang memerlukan tambahan sebanyak RM1.1 bilion dan bayaran khidmat hutang Dana Infra yang memerlukan tambahan sebanyak RM2.5 bilion.

Tambahnya, pada 2018 Kementerian Kewangan juga membantu menerusi bayaran kupon bon dan sukuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak RM1.6 bilion tanpa melibatkan peruntukan yang diluluskan oleh Parlimen kerana dibiayai daripada sumber di luar kunci kira-kira.

“Dalam Dewan yang mulia ini, ada pihak yang mengatakan bahawa 1MDB mempunyai aset yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman.

“Hakikat sebenarnya, bukan sahaja tiada aset untuk memenuhi lebih daripada RM30 bilion pinjaman 1MDB, kos faedah pinjaman pun tidak dapat dibayar melalui pulangan daripada aset 1MDB,” kata Lim.–Bernama

Tiada ulasan: