Ahad, 16 September 2018

Dr Mahathir tidak mungkir janji Anwar penggantinya

THE MALAYSIAN TIMES
 


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan mungkir atas janjinya bahawa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi penggantinya seperti mana yang telah dipersetujui sebelum ini oleh Pakatan Harapan.

“(Mengenai isu) pengganti, kita sudah bersetuju bahawa ia mestilah Anwar, saya tidak mungkir janji saya, tetapi apabila …. tentu sekali ianya belum pasti, saya sedar bahawa saya sangat tua, umur saya 93 tahun dan dalam masa dua tahun saya akan berusia 95 tahun,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan berikutan keputusan Anwar untuk kembali ke Parlimen dengan bertanding kerusi Parlimen Port Dickson.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam di mana beliau adalah pengerusi.

Ditanya mengenai hubungan beliau dengan bekas timbalan perdana menteri beliau itu sekarang, Dr Mahathir berkata “hubungan saya dengan Anwar adalah baik, baik, sebaik yang boleh lah,”

Ditanya sama ada beliau akan berkempen untuk Anwar di Pilihan Raya Kecil Port Dickson, beliau berkata biasanya dia tidak turun berkempen untuk mana-mana pilihan raya kecil.

Dr Mahathir berkata Anwar menelefonnya dari Hong Kong memberitahu mengenai keputusannya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

“Saya akan menyokong pencalonannya,” kata pengerusi PH itu.

Rabu lepas, Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dari PKR mengumumkan peletakan jawatannya, bagi membolehkan Anwar bertanding kerusi itu.

Ditanya sama ada Anwar akan diberikan jawatan dalam kerajaan jika beliau memenangi pilihan raya itu, Dr Mahathir berkata PKR telah membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Sebenarnya (Setiausaha Agong PKR Datuk) Saifuddin (Nasution Ismail) telahpun membuat kenyataan bahawa apabila Anwar menang … dia tidak akan meminta jawatan dalam kerajaan, yang bermaksud dia tidak akan meminta untuk menjadi menteri dalam kerajaan.

“Saya anggap bahawa ia mesti dengan persetujuan Anwar bahawa dia (Saifuddin) berkata demikian,” kata Dr Mahathir.

Terdahulu semalam, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan meminta apa-apa jawatan dalam kerajaan jika dia menang pilihan raya itu.

Ditanya mengenai pendapatnya sama ada ia cara yang betul untuk membuka jalan bagi mengadakan pilihan raya kecil dengan meminta seseorang untuk mengosongkan kerusinya, Dr Mahathir berkata parti itu mengambil maklum mengenai isu itu dan juga perhatian orang ramai.—Bernama

Tiada ulasan: