Selasa, 4 September 2018

Akta Komunikasi dan Multimedia dipinda bukan mansuh

SINAR HARIAN
 
Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
 
 
KUALA LUMPUR – Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) 1998 akan dipinda dan bukan dimansuhkan buat masa sekarang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh memansuhkan CMA buat masa sekarang walaupun ia berjanji dalam manifestonya pada PRU-14 untuk menghapuskan undang-undang yang memberi ancaman kepada kebebasan bersuara.

“CMA melibatkan banyak rangka kerja peraturan… jadi untuk memansuhkannya (CMA) sekarang ini tidak dapat dilaksanakan. Bagaimanapun, beberapa seksyen seperti Seksyen 233 dan 211 akta berkenaan, boleh dibincangkan sama ada boleh dimansuhkan atau tidak,” katanya dalam satu temubual dengan BFM Radio, di sini hari ini.

Seksyen 211 berhubung dengan penggunaan tidak betul terhadap kemudahan rangkaian atau  perkhidmatan rangkaian manakala Seksyen 233 melarang penerbitan kandungan jelek dalam internet. Sejak sekian lama, Seksyen 233 digunakan terhadap anggota Pembangkang.

“Pindaan terhadap peruntukan dalam undang-undang itu juga bagi memastikan tidak terdapat  penganiayaan politik, kerajaan PH berusaha memenuhi janji pilihan rayanya untuk memansuhkan Akta Anti-Berita Palsu 2018 pada Parlimen bulan lepas.

“Undang-undang itu telah diluluskan secara tergesa-gesa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu meskipun terdapat bantahan awal tahun ini dan dikuatkuasakan pada 2 April, sebelum PRU14, pada  9 Mei,” katanya.

Gobind berkata, pengawal selia seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu berkecuali jika ingin berfungsi secara berkesan dengan mula menghentikan amalan pelantikan politik  untuk mengetuai organisasi yang berkenaan.

“Dalam regim BN sebelum ini, kita berhadapan dengan situasi di mana pelantikan politik dibuat  berdasarkan bagaimana sesuatu dasar itu dirumuskan. Pelantikan politik dalam sesebuah badan seperti  SKMM hendaklah dihentikan,” katanya.

Beliau mengulas kepada soalan yang dikemukakan kepada beliau oleh bekas ketua eksekutif SKMM  Datuk Mazlan Ismail yang mencabar pemilihan presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh  pada pilihan raya umum 2013 di bawah pemerintahan BN.

Mazlan, bersama-sama pengerusi SKMM Tan Sri Dr Halim Shafie dan dua lagi pegawai kanan  meletakkan jawatan pada 1 Julai berikutan pelantikan politik yang dibuat semasa pentadbiran BN sebelum ini.

Ketua Setiausaha KKMM Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkhidmat sebagai pengerusi sementara SKMM sehingga terdapat calon pengganti. – Bernama

Tiada ulasan: