Sabtu, 19 Mei 2018

Najib: Polis minta makanan ketika serbu rumah anak

 
Bekas perdana menteri itu mengkritik polis melakukan serbuan dengan 'sombong dan tidak bertanggungjawab'.


Polis melakukan pemeriksaan serentak sejak malam Rabu lalu di 6 premis, termasuk 3 unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan.


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas anggota polis yang meminta makanan disediakan untuk mereka ketika menyerbu rumah anaknya.

Dalam kenyataan yang dibacakan peguamnya, Harpal Singh Grewal hari ini, Najib turut mengkritik polis melakukan serbuan dengan “sombong dan tidak bertanggungjawab”.
 
“Ini ditunjukkan dengan cara anggota polis mengambil makanan dan coklat dalam peti sejuk,” katanya sambil menambah publisiti berhubung rampasan barang mereka memalukan keluarganya.



Harpal Singh membaca kenyataan Najib di perkarangan kediaman bekas perdana menteri di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, hari ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menjalankan pemeriksaan serentak sejak malam Rabu lalu di 6 premis, iaitu Pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya dan kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta serta 3 unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan.

Hasil pemeriksaan itu menyaksikan polis merampas 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga.

Selasa lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menjangka pertuduhan akan dibuat ke atas Najib, susulan penyiasatan dakwaan bekas presiden Umno itu menyeleweng ratusan juta dolar dana 1MDB

Tiada ulasan: