Khamis, 31 Mei 2018

Penceramah bebas didakwa beri khidmat kewangan kepada pengganas

 
Tertuduh membenarkan kemasukan wang RM200 dan RM100 ke akaunnya dan mempercayai perkhidmatan yang diberikan itu memanfaatkan pengganas.


Penceramah bebas itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengendalikan harta milik pengganas.


KUALA LUMPUR: Seorang penceramah bebas yang sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan mengendalikan harta milik pengganas berdepan 2 lagi pertuduhan tambahan di mahkamah sama iaitu memberikan perkhidmatan kewangan bagi manfaat pengganas.

Ahmad Junaidi Omar, 30, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa secara tidak langsung memberikan perkhidmatan kewangan dengan cara membenarkan kemasukan wang RM200 dan RM100 ke akaun Maybank miliknya dan dia mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai perkhidmatan yang diberikan itu akan memanfaatkan pengganas bernama Muhammad Fudhail Omar, 26.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Maybank cawangan Baling, 63-D, Jalan Badlishah, Baling, Kedah pada 12.20 tengah hari, 8 Jun 2015 dan 4.35 petang, 2 Julai 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130O(1)(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130O(1)(bb) kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 Julai untuk sebutan semula kes manakala perbicaraan ditetapkan pada 6 sehingga 8 Ogos. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam Shahredzan Johan.

Pada 26 Januari lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan pengetahuan membenarkan kemasukan wang berjumlah RM6,360 milik Muhammad Fudhail ke dalam akaun bank miliknya.

Tiada ulasan: