Rabu, 30 Mei 2018

“Ada GLC yang boleh dijual”- Nazir

Wartawan MalaysiaGazette
Nazir
Datuk Seri Nazir Razak berpendapat rangka kerja GLC, GLIC perlu disemak semula.
 

KUALA LUMPUR- Rangka kerja sedia ada syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) perlu disemak semula termasuk mendefinisikan semula peranan firma pengurus dana seperti Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB), Datuk Seri Nazir Razak berkata, semakan semula itu bertujuan mendapatkan hasil yang terbaik pada masa hadapan.

Di dalam posting instagramnya, Nazir berkata, program 10 tahun reformasi GLC yang diterajui Khazanah Nasional Bhd. telah berjaya namun setiap syarikat mempunyai kebolehan masing-masing.

“Saya mengenali hampir kesemua syarikat tersebut sebelum mereka direformasi tetapi sekarang ada sebahagiannya telah lulus dan perlu “dilepaskan”, ada sebahagian yang berebut dengan syarikat swasta dan boleh dijual, ada sebahagian yang perlu dipulihkan semula dan ada sebahagian yang mungkin strategik dan perlu dikekalkan sebagai GLC,” katanya.

Beliau turut melampirkan keratan artikel bertajuk “Nazir berkata kerajaan perlu menyemak semula rangka kerja GLC, GLIC,” terbitan portal Free Malaysia Today hari ini.

Beliau mengulas mengenai seruan seorang penulis buku yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Dr. M Bakri Musa yang meminta kerajaan baharu untuk menjual semua GLC dan GLIC yang disifatkan punca kepada semua masalah.

Di dalam artikel berkenaan, Nazir berkata, malang sekali apabila GLC seperti Felda dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak menjadi sebahagian daripada program reformasi tersebut.

Di samping itu, beliau turut meminta kerajaan untuk mendefiniskan semula Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mereka memegang amanah rakyat secara langsung.

Antara perkara lain yang ditekankan Nazir adalah peraturan di dalam urustadbir GLC.

Tegasnya, ahli-ahli politik sepatutnya tidak dibenarkan untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di syarikat GLC.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: