Selasa, 29 Mei 2018

4 daerah di Perak dilanda banjir

THE MALAYSIA INSIGHT
4 daerah di Perak dilanda banjir
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata jumlah mangsa meningkat malam ini berikutan terdapat sebuah PPS dibuka di daerah Kerian, melibatkan 22 orang yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Matang Tengah pada 4 petang tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
JUMLAH mangsa banjir di Perak yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat sedikit kepada 168 orang daripada 42 keluarga setakat 8 malam, berbanding 152 orang daripada 40 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata jumlah mangsa meningkat malam ini berikutan terdapat sebuah PPS dibuka di daerah Kerian, melibatkan 22 orang yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Matang Tengah pada 4 petang tadi.

Tiga lagi PPS juga masih dibuka di tiga daerah membabitkan daerah Taiping di Sekolah Kebangsaan (SK) Temelok, Trong, Kampung Temelok, kekal menempatkan 38 mangsa daripada 12 keluarga.

Di daerah Manjung juga kekal 48 mangsa daripada 12 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai, Pantai Remis.

Sementara di daerah Hilir Perak, jumlah mangsa menurun kepada 60 orang daripada 14 keluarga berbanding 66 mangsa daripada 16 keluarga pada pagi tadi, yang ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Langkap, kata kenyataan itu. – Bernama,

Tiada ulasan: