Sekumpulan ahli akademik kesal kerana bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang didakwa pernah menciplak karya drama therapi Eropah telah diterima berkerja di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Menurut sumber yang dihantar kepada Malaysia Dateline menerusi email itu, memberitahu, pensyarah itu kini dilantik sebagai seorang Profesor Madya dan juga dilantik sebagai Timbalan Dekan di UMK.
Dakwaan itu menyebut hasil karya pengamal drama therapi itu disalin bulat-bulat untuk menyiapkan thesis PhD beliau.
Pengirim email yang dikenali sebagai Nusra Fadeli dari Kota Kinabalu berkata, dalam dunia akademik, aktiviti menyalin hasil penulisan penulis lain dipanggil plagiarisma.
Katanya pada tahun 2015, mereka telah menghantar beberapa email dan surat kepada pejabat Naib Chanselor UMK untuk memaklumkan penipuan akademik tersebut tetapi dakwanya, tidak mendapat sebarang maklumbalas hingga kini.
“Kami juga telah memaklumkan secara email kepada Majlis Profesor Negara mengenai plagiarisma tersebut tetapi hanya mendapat jawapan ‘Terima kasih atas maklumat yang encik berikan’.
“Kami juga telah menghubungi beberapa orang pensyarah UMK untuk memaklumkan perkara ciplakan tersebut namun tiada seorang pun yang berani untuk mengetengahkannya,” ujarnya sumber tersebut.
Menurut sumber lagi, UMS bertindak tegas kepada sesiapa sahaja yang menciplak thesis, tetapi perkara ini tidak berlaku di UMK, ujarnya lagi, yang memilih untuk menutupnya sedaya upaya sekalipun tahu ia adalah satu kes penipuan yang amat merugikan mahasiswa dan negara.
“Thesis PhD beliau yang diserahkan kepada Hull University (UK) terdiri dari 85 mukasurat yang ditulis secara ciplakan dari buku-buku serta website berkaitan drama therapi yang terkenal di Eropah.
Ini bermakna tiada sebarang ‘originality’ atau idea asli dalam thesis beliau. Tidak ada sebarang nilai akademik dalam thesis bila ia mengandungi ciplakan.
“Kami telah menelefon The British Library beberapa kali sejak 2015 untuk memaklumkan hasil karya ciplakan tersebut. Berpandukan bukti ciplakan yang kami berikan, akhirnya The British Library telah mengeluarkan thesis itu dari senarai koleksi thesis. Untuk makluman, The British Library mengumpulkan kesemua thesis-thesis PhD dan meletakkanya di atas talian untuk dicapai oleh semua ahli akademik di seluruh dunia.
“Setelah berbincang secara panggilan telefon dengan beberapa ahli akademik di Hull University, kami berjaya menyakinkan mereka bahawa semua bahagian utama thesis tersebut adalah ciplakan dari beberapa buah buku dan website. Akhirnya thesis tersebut dikeluarkan dari website Hull University.
“Amat malang bagi sebuah universiti baru di Pantai Timur untuk memiliki profesor madya ‘ciplakan’. Kami di Universiti Malaysia Sabah berasa amat hairan mengapa tiada pihak mengambil tindakan sekalipun beberapa kali kami maklumkan mengenai ciplakan tersebut.
“Kami difahamkan Naib Chanselor UMK menafikan sekeras-kerasnya terdapat ahli akademik UMK melakukan ciplakan untuk menyiapkan PhD,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan