Sabtu, 26 Mei 2018

Pilihan raya kerajaan tempatan dalam 3 tahun, kata Zuraida

 
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan perlu melihat implikasi kosnya tetapi yakin ia boleh dilaksanakan. 





KUALA LUMPUR: Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin boleh dilaksanakan dalam masa sekurang-kurangnya 3 tahun lagi, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengutamakan pelbagai perkara lain terlebih dahulu seperti memastikan kedudukan kewangan negara stabil.

“Kita perlu melihat implikasi kos tetapi saya rasa ia boleh dilaksanakan 3 tahun lagi,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Rumah Transit Pinggiran Bukit Jalil hari ini bagi mengetahui masalah penduduk.

“Dalam masa 6 bulan ini kita akan lakukan kajian terperinci mengenai perkara ini,” katanya sambil menambah, pemilihan PBT perlu kerana rakyat berhak memilih kerajaan tempatan.

“Kita mungkin boleh laksanakan pemilihan ini secara berperingkat seperti di Selangor dan Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum ia diadakan di seluruh negara,” kata Zuraida.

Menurutnya, pemilihan PBT bukan satu perkara yang asing kerana ia dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Indonesia dan Korea Selatan.

Mengenai masalah orang muda yang dilaporkan sukar mendapatkan pinjaman perumahan, Zuraida berkata pihaknya telah memulakan perbincangan dengan pihak bank tempatan bagi mencari penyelesaian.

“Kita faham bank kadang-kadang ada peraturan ketat untuk pinjaman perumahan, jadi kita akan cuba kemukakan satu inisiatif bagi membantu pembeli di samping tidak menjejaskan bank,” katanya.

Tiada ulasan: