Selasa, 29 Mei 2018

KAJI SEMULA FUNGSI ICU JPM – ABBAS


Wartawan Watan-Online



Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) menggesa kerajaan mengkaji semula fungsi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diwujudkan ketika era pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda PAN Selangor Abbas Azmi mendakwa penubuhan ICU sekadar ‘wayang’ kononnya untuk menyalurkan peruntukan pembangunan di negeri-negeri, sedangkan unit itu sebenarnya merupakan proksi kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian.

“Saya harap kerajaan menimbangkan cadangan ini. Adakah ICU benar-benar diperlukan diperingkat negeri?. Penjawat awam berstatus tetap di ICU boleh diserapkan ke agensi lain.

“Selama ini UMNO dan banyak habiskan duit rakyat dengan menubuhkan pelbagai agensi atau jabatan yang lebih menjurus kepada kepentingan politik mereka,” katanya kepada Watan Online pada Isnin.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Dr Mahathir berkata, MPN, JASA dan JKKP dibubarkan kerana wujud unsur politik, manakala SPAD akan diambil alih oleh Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, kerajaan dijangka mampu menjimatkan kira-kira RM500 juta setahun susulan pengumuman pembubaran empat badan dan agensi kerajaan itu.

Pembubaran hampir 3,000 kakitangan itu, dijangka mampu menjimatkan kos pengurusan kerajaan, khususnya membabitkan penggajian dan kos operasi dalam perbelanjaan tahunan negara.

Tiada ulasan: