Sabtu, 26 Mei 2018

Pemanggil ‘tidak senonoh’ terhadap Nurul Izzah perlu di hukum – Wanita MIC

Kasthuri Jeevendran
Usha Nanthini.
Bekas Senator, Usha Nanthini. foto FAREEZ FADZIL, 
 

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemanggil mengecam cara pemakaian Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mendapat perhatian pelbagai pihak terutama pemimpin wanita termasuk dari pembangkang.

Terbaru, bekas Ahli Dewan Negara merangkap Ketua Wanita MIC Titiwangsa, Usha Nandhini Jayaram melahirkan rasa terkejut dan jijik terhadap pemanggil yang dikenali sebagai Azrul itu.

Jelasnya, pemanggil itu seolah-olah sengaja mahu ‘mengenakan’ Nurul Izzah serta membulinya secara seksual dengan mengeluarkan pandangan untuk menjatuhkan maruah pemimpin wanita itu.

“Pada hemat saya, pemanggil itu sengaja mahu menjatuhkan maruah dan kredibiliti Nurul Izzah. Tidak ada salah dengan cara pemakaian beliau sebaliknya pandangan yang dilontarkan oleh pemanggil bernama Azrul itu seolah-olah ‘gila seks’ kerana mempunyai imaginasi murahan.

“Walaupun mungkin kami mempunyai ideologi politik yang berbeza, saya lihat Nurul Izzah sebagai seorang pemimpin wanita yang berani, mungkin itu juga antara punca mengapa ada golongan lelaki yang rasa tercabar sehingga mengeluarkan pandangan seumpama ini.

“Saya mohon kepada pihak berkuasa untuk mengenalpasti identiti lelaki ini dan ambil tindakan yang sepatutnya. Jangan beri muka kepada pelaku sebegini. Berpakaian seperti baju kebaya dan kurung sebenarnya seksi? Kenyataan apa ini? Sampai bila mahu memandang rendah kepada golongan hawa?

“Kini era sudah berubah, kami setaraf malah boleh melakukan pelbagai perkara luar biasa.
Tanggapan dan penghinaan seperti ini langsung tidak boleh di terima. Jijik dan keji,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam program yang bersiaran pada 22 Mei lalu, seorang pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai Azrul mengaku pernah bertemu anggota parlimen Permatang Pauh itu ketika bertugas.

Melalui panggilan telefon berkenaan dia memberi teguran mengenai cara pemakaian Nurul Izzah yang dirasakan tidak bersesuaian dengan statusnya sebagai seorang tokoh Muslimah.

Melalui pemerhatian individu terbabit, Nurul Izzah sepatutnya lebih berhati-hati terutama apabila tudung yang dipakainya terselak.

Pandangan itu kemudian menjadi viral di media sosial yang mengundang pelbagai reaksi yang rata-ratanya marah dengan cara teguran itu dibuat terutamanya dalam sebuah rancangan yang didengari oleh jutaan pendengar.

Ramai pengguna media sosial menyatakan simpati dan memberi sokongan terhadap insiden yang berlaku kepada anak sulung pasangan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rata-rata mengecam sikap individu itu dan mempersoalkan bahawa dia seharusnya menggunakan cara yang lebih sesuai jika betul-betul ikhlas dalam tegurannya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar bercakap kepada media selepas melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 15 MEI 2018Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar bercakap kepada media selepas melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI,

Tiada ulasan: