Selasa, 29 Mei 2018

Nurul Izzah nafi bakal kahwini Agong

MALAYSIAKINI

   

Sejak semalam, tersebar mesej di media sosial dan aplikasi Whatsapp yang mendakwa Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bakal mendirikan rumah tangga dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Apatah lagi selepas kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama keluarga ke Istana Kelantan atas undangan bonda Yang di-Pertuan Agong Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Khabar angin itu sempat menimbulkan cakap-cakap di media sosial.

Nurul Izzah bagaimanapun menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai berita palsu.

"Tolong abaikan berita palsu yang disebar. Terima kasih.

"Marilah kita semua memberi tumpuan kepada kerja-kerja yang ada - menyelamatkan ekonomi Malaysia," katanya seperti dipetik portal mStar Online hari ini.



Ibunya, Wan Azizah turut menyangkal perkara itu ketika ditanya pemberita.

"Astagafirullahalazim... jangan dengar berita khabar angin. Tidaklah ...," katanya seperti dipetik Bernama.

Menurut laporan itu lagi, Wan Azizah dilihat mengurut dada dan terkejut apabila ditanya soalan itu tetapi masih tersenyum ketika ditemui di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Pertemuan Wan Azizah dan keluarga dengan Tengku Anis dibuat secara tertutup dan berlangsung selama sejam pada 24 Mei lalu.

Malaysiakini difahamkan kunjungan itu juga bagi mempersembahkan ucapan terima kasih Anwar kepada Istana Kelantan susulan pengampunan diraja yang diperkenan oleh Sultan Muhammad V.

Tiada ulasan: