Sabtu, 26 Mei 2018

ELAK BOROS : ANWAR SARAN KERAJAAN NEGERI CONTOHI PUSAT

Wartawan Watan-Online
 


Kerajaan negeri di bawah naungan Pakatan Harapan (HARAPAN) wajar mencontohi pemotongan gaji yang dilakukan Putrajaya, ujar Ketua Umum HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kemenangan HARAPAN telah membuka dimensi baru terhadap imej baru kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat tanpa sebarang amalan boros serta protokol melampau.

Oleh itu, beliau berkata budaya baharu yang positif perlu dilaksanakan dalam kerajaan.

“Saya menyambut baik beberapa inisiatif yang diambil kerajaan pusat untuk memotong gaji menteri kabinet sebanyak 10 peratus, serta menghentikan sebarang amalan pemberian hadiah sempena pelantikan.

“Justeru saya menggesa semua kerajaan negeri HARAPAN agar dapat mempertimbang dan melaksanakan langkah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mesyuarat kabinet pertama pada 23 Mei lalu telah memutuskan gaji anggota kabinet dipotong sebanyak 10 peratus sebagai langkah berjimat cermat.

Kerajaan juga tidak bercadang untuk menaikkan gaji jemaah menteri walaupun sesetengah pegawai kerajaan seperti pegawai kanan dan ketua setiausaha negara mendapat gaji lebih tinggi.

Mengulas lanjut, pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu juga berkata kemenangan HARAPAN wajar disambut dengan kesedaran bahawa rakyat dan media bebas membuat pemantauan secara jujur dan menyeluruh terhadap kerajaan.

“Tiada lagi amalan pemborosan, protokol yang berlebihan lagi melelahkan, serta bermegah-megah demi membangun citra,” katanya.


Tiada ulasan: