Sabtu, 26 Mei 2018

Fakta tentang hutang Malaysia

 
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi menjelaskan bila kita perlu berasa bimbang, dan bila pula sebaliknya.


CEO Ideas, Ali Salman berkata tidak perlu panik selagi kerajaan mempunyai rancangan pembayaran balik hutang dan boleh mematuhi jadualnya. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Kini selepas hutang RM1 trilion Malaysia diketahui semua, adakah anda salah seorang yang berasa bimbang negara menuju kehancuran?

Selagi kerajaan mempunyai rancangan pembayaran balik hutang tersebut dan mematuhi jadualnya, anda tidak perlu panik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Ali Salman.

Angka RM1 trilion itu disebut oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Isnin lepas dalam perhimpunan kakitangan Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memperincikan angka tersebut selepas itu.

Lim berkata, hutang rasmi kerajaan persekutuan berjumlah RM686.8 bilion (50.8% Keluaran Dalam Negara Kasar), komitmen jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion (14.6% KDNK) dan komitmen bayaran pajakan bagi projek awam-swasta sebanyak RM201.4 bilion (14.9% KDNK).

Baru-baru ini FMT meminta Ali menjelaskan beberapa isu berkaitan hutang kerajaan itu dalam bahasa mudah.

“Hutang sesebuah negara berlaku apabila kerajaan membuat pinjaman bagi membiayai projek atau perjalanan operasinya. Wang dipinjam daripada negara lain atau institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Sesetengah kerajaan melihat liabiliti sebagai hutang,” katanya.
 
FMT: Bila kita perlu bimbang tentang hutang?
Ali: Dari sudut teknikalnya, jumlah hutang tidak terlalu penting. Lebih penting ialah pelan pembayaran hutang kerajaan dan sama ada ia mampu mematuhi pelan itu.
Berhutang bukanlah sentiasa buruk. Isunya ialah sama ada hutang itu produktif.

Hutang dianggap produktif jika katakan anda meminjam sebanyak RM30 bilion dengan tempoh bayaran balik selama 20 tahun untuk membina projek infrastruktur yang membolehkan anda mendapat kembali jumlah itu dalam tempoh tersebut.

Tetapi jika pinjaman itu digunakan bagi membayar kos operasi kerajaan atau digunakan untuk membina projek gajah putih, maka ia tidak produktif.

FMT: Mampukah Malaysia membayar hutangnya?
Ali: Ya. Keadaannya terurus. Salah satu petunjuk penting kemampuan sesebuah negara untuk membayar hutang ialah jumlah wang yang diperuntukkan untuk tujuan itu dalam belanjawan tahunannya.

Bagi Belanjawan 2018, jumlah ini ialah sebanyak 11% dan ia sangat mencukupi. Berdasarkan piawaian Bank Dunia, keadaan menjadi membimbangkan sekiranya 30% daripada belanjawan diperuntukkan untuk tujuan pembayaran balik hutang.

Dari sudut hutang itu sendiri, tidak perlu panik. Apa yang membimbangkan ialah dakwaan institusi seperti 1MDB, Danainfra Nasional Bhd, Prasarana Malaysia Bhd, Malaysia Rail-Link Sdn Bhd dan Govco Holdings Bhd perlu diselamatkan oleh Kementerian Kewangan.

Melainkan 1MDB, semua syarikat lain terlibat dengan projek pengangkutan dan infrastruktur.

Terdapat tanda yang menunjukkan pinjaman untuk entiti-entiti ini tidak produktif, dan ia tidak dapat menjana cukup pendapatan untuk membayar hutang.

Ini boleh menyebabkan peningkatkan harga bagi memenuhi keperluan membayar hutang. Ia juga boleh mengakibatkan penggunaan hasil cukai untuk tujuan pembayaran balik, seperti yang dilakukan oleh kerajaan dulu.

FMT: Adakah hutang kita memberi kesan ke atas perkadaran kredit?
Ali: Tidak. Perkadaran kredit kita hanya terganggu sekiranya kerajaan atau agensinya gagal membayar balik hutang.

FMT: Apakah hutang kerajaan sebelum ini produktif?
Ali: Pada ketika ini kita tidak dapat menentukannya kerana maklumat lebih terperinci tidak ada. Mungkin, atas keperluan bersikap telus, kerajaan hari ini patut mendedahkan angka itu kepada orang ramai. Jika ia dianggap terlalu sensitif, paling tidak ia dikemukakan kepada Parlimen.
Selain itu, kerajaan sekarang boleh menjadikan amalan membawa sesuatu cadangan yang memerlukan hutang yang besar ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.

FMT: Wajarkah menteri kewangan mendedahkan angka hutang negara seperti baru-baru ini?
Ali: Beliau mungkin berasa tugasnya untuk bersikap telus kepada rakyat. Ia mesti diimbangkan dengan kenyataan lain bagi mengukuhkan keyakinan pelabur dan orang awam terhadap pelan pembayaran hutang dan kemampuan kerajaan untuk membayarnya.

FMT: Kerajaan patut buat apa sekarang?
Ali: Kerajaan tidak perlu cuba mengatasi isu nisbah hutang itu serta-merta. Lebih penting ialah menangani isu kegagalan institusi yang tampak semakin memburuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Tiada ulasan: