Khamis, 31 Mei 2018

Umno tamat peruntukan bulanan kepada bahagian parti, sayap

Umno tamat peruntukan bulanan kepada bahagian parti, sayap
Umno menamatkan agihan peruntukan bulanan kepada semua bahagian dan sayap parti bahagian bermula Mei ini susulan kegagalannya mengekalkan pentadbiran kerajaan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
UMNO menamatkan agihan peruntukan bulanan kepada semua bahagian dan sayap parti bahagian bermula Mei ini susulan kegagalannya mengekalkan pentadbiran kerajaan persekutuan.

Sumber mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa setiausaha agung parti, Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan perkara itu dalam satu surat bertarikh 22 Mei.

"Sayugia dimaklumkan, ibu pejabat setelah meneliti kedudukan kewangan parti dan ingin memaklumkan yang mana penyaluran peruntukan bulanan kepada pihak bahagian dan pergerakan Sayap-sayap Bahagian terpaksa ditamatkan bermula Mei 2018.

"Walau bagaimanapun, adalah diharapkan bahawa pihak Bahagian dan Sayap Pergerakan Bahagian dapat meneruskan pengoperasian Bahagian sepertimana kebiasaan sebelum ini," kata Tengku Adnan dalam surat yang dilihat The Malaysian Insight.

Kandungan surat itu disahkan seorang ketua bahagian Umno Wilayah Persekutuan.

"Kita hormati keputusan, tidak apa. Kita faham Umno perlu jimatkan duit. Jadi kenalah bersedia jadi pembangkang," kata ketua bahagian itu yang enggan dinamakan.

Bagaimanapun, surat tersebut masih belum diterima pimpinan Perak.

"Saya masih belum terima apa-apa. Mungkin akan diberitahu ahad ini sebab ada perjumpaan," kata seorang ketua bahagian di Utara Perak yang turut enggan dinamakan.

The Malaysian Insight sedang berusaha menghubungi Tengku Adnan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Pemangku presiden parti itu, Zahid Hamidi pada minggu lalu turut menggesa polis memulangkan wang RM114 juta yang dirampas di kediaman dikaitkan dengan bekas presidennya Najib Razak.

Zahid mendakwa wang yang ditemui di kondominium mewah Pavillion Residences tersebut merupakan dana parti.

Selain wang, polis turut merampas sejumlah 284 kotak mengandungi beg tangan mewah, serta perhiasan dan jam tangan mewah dari premis berkenaan.

Polis juga merampas sejumlah 150 beg tangan mewah dari sebuah lagi unit di kondominium tersebut, yang dihuni anak perempuan Najib.

Najib dan anaknya Nooryana Najwa sudah memberi keterangan kepada polis berhubung rampasan barangan tersebut.

Tiada ulasan: