Khamis, 31 Mei 2018

Rais: Jelaskan RM40 juta untuk siaran Piala Dunia di RTM


Pemimpin veteran Umno Tan Sri Rais Yatim menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menjelaskan peruntukan RM40 juta yang akan dibelanjakan bagi menyiarkan perlawanan Piala Dunia 2018 secara langsung di RTM.

Menerusi Twitter, bekas menteri penerangan itu turut meminta penjelasan daripada mana sumber dana itu diperoleh ketika kerajaan bercadang mengambil langkah berjimat cermat.

"Ura-ura nak guna RM40 juta untuk pesta tayangan bola sepak di RTM mesti dirasionalkan oleh menteri.

"Adakah jumlah itu dari pengiklan atau huluran kerajaan? Kalau huluran dari kerajaan dasar berjimat cermat tak masuk akal. Pakat dengan Astro kongsi siaran. Selamatkan duit negara," katanya.

Terdahulu hari ini, Gobind mengumumkan bahawa RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan Piala Dunia 2018, di mana 27 perlawanan akan disiarkan secara langsung sementara 14 perlawanan lain akan ditayangkan melalui siaran tertunda.

Menurutnya, kabinet memperuntukkan sehingga RM40 juta untuk membeli hak penyiaran perlawanan berprestij itu.

Gobind berkata butiran mengenai bagaimana peruntukan dibelanjakan akan dijelaskan semasa taklimat khas mengenai kewangan negara esok.

Susulan itu, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang menyindir idea siaran secara langsung itu dan menyifatkannya sebagai "luar biasa".

Tan berkata barangkali itulah sebabnya kerajaan perlu mewujudkan tabung bagi rakyat Malaysia memberikan sumbangan untuk meringankan hutang negara.

"Saya ingin bertanya adakah tabung itu berkaitan dengan siaran Piala Dunia di RTM? Saya ingat kerajaan ingin jimatkan wang?" sindirnya.


Tiada ulasan: