KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad sebentar tadi mengangkat sumpah
sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7, kali kedua beliau memegang
jawatan tertinggi kerajaan, pada usia 93 tahun.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) melafazkan ikrar jawatan itu di hadapan
Yang Di Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara pada pukul lima
petang setelah majlis itu ditunda daripada pagi akibat kekeliruan
mengenai status PH dan ahli Parlimennya.
PH pimpinan Dr Mahathir awal pagi ini menumbangkan Barisan Nasional
(BN) untuk menawan Putrajaya, kali pertama berlaku pertukaran kerajaan
pusat sejak kemerdekaan Malaysia 61 tahun lalu.
Dr Mahathir memberitahu sidang media tengah hari tadi bahawa beliau
mempunyai sokongan bertulis 135 daripada 222 Ahli Parlimen,
menjadikannya layak untuk menerima perkenan yang di pertuan agong bagi
memimpin dan membentuk kerajaan baru .
Hadir sama pada majlis angkat sumpah tadi adalah isteri Dr Mahathir,
Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail yang dijangka dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Perlantikan Wan Azizah dan anggota jemaah menteri PH dijangka dibuat dalam tempoh dua atau tiga hari.
Dr Mahathir sebelum ini mengumumkan usaha akan dibuat untuk memperolehi
pengampunan diraja untuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
akan dibebaskan dari penjara bulan depan bagi membolehkan beliau
dilantik menjadi perdana menteri menggantikannya pada masa sesuai.
Namun untuk berbuat demikian, Anwar bukan saja perlu mendapatkan
pengampunan Istana tetapi juga menjadi Ahli Parlimen atau senator untuk
menyandang jawatan perdana menteri.
Proses itu dipermudahkan dengan kemenangan besar PH yang mencatat sejarah tersendiri dalam politik tanah air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan