PRU14 telah berakhir.
Terkejut, gembira, duka semua perasaan dikongsi rakyat Malaysia yang
cakna politik. Kekalahan yang memalukan Umno dan sekutunya di dalam BN,
telah dihidu awal dengan palitan demi palitan salah laku dan juga
tekanan ke atas hidup rakyat, dimainkan dengan baik oleh pembangkang,
walaupun PH terkadang melampaui norma-norma kempen yang betul.
Sentuhan isu GST, 1MDB, kemewahan
melampau pemimpin, ugutan oleh ahli politik terhadap rakyat marhaen,
membuakkan kebencian yang mendekam di sanubari mereka, dan terjadilah
apa yang telah Allah tentukan.
Saya tinggalkan kegembiraan pihak yang
menang itu dengan saya menumpukan kepada PAS, kerana ia lebih realistik
bagi saya untuk mengupasnya. Tidak dinafikan, tawa dalam duka ketika ini
menyelubungi perasaan ahli dan penyokong PAS. Tawa setelah 14 tahun
menanti untuk mengambil kembali tampuk pemerintahan Terengganu yang
sehingga kini, PAS meyakini ia dirampas dengan cara yang jahat dengan
bantuan SPR ketika itu.
Gembira juga setelah debaran
mempertahankan Kelantan, berakhir dengan izin Allah, PAS menguasai
majoriti dua per tiga, tanpa kedua-dua negeri meninggal sebuah kerusi
pun kepada musuh tegar terbaharunya, PAN. Tetapi duka di kebanyakan
tempat selainnya. PAS terpukul agak teruk.
Kita dengan jelas dapat melihat pola
pengundian dengan membahagikan kawasan kepada dua bahagian iaitu
negeri-negeri yang dimenangi PH serta negeri-negeri pendukung PAS.
Sokongan kepada PH sangat jelas dengan Johor yang dikatakan tempat
lahirnya Umno, tumbang tanpa disangka-sangka.
Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka
dan Selangor juga memberikan undi mereka kepada PH dengan mereka berjaya
menubuhkan kerajaan. Cuma perayaan mereka terbantut di Perak dan Kedah
kerana masih tergantung sehingga kini. Di Terengganu dan Kelantan, PAS
jelas mendominasikan majoriti Dun. Dan Kedah juga sebenarnya tidak
mengecewakan, hampir mengulangi kejayaan 2008, 16 kerusi dan sekarang 15
kerusi.
Bentuk pengundian ini memperjelaskan isu
kos sara hidup, GST, 1MDB, kenaikan harga minyak yang dimainkan kesemua
pembangkang, sama ada PAS dan PH mendapat tempat yang khusus di hati
rakyat. Mereka merasa keperitannya, ditambah dengan keadaan ekonomi
dunia semasa yang tidak baik, membantu lagi kempen pembangkang.
Semakin tambah meluat rakyat apabila
melihat pemimpin BN yang seperti memperbodohkan rakyat dengan
dakwaan-dakwaan songsang harga barang terkawal, menjual ayam dengan
harga RM1 seekor, mengadakan apa yang kononnya didakwa sebagai jualan
rakyat ketika hampir PRU, menambahkan lagi sebab rakyat mahu menjatuhkan
mereka. Ini tuntas, sebabnya jelas.
Tetapi isu-isu lain yang khusus
dimainkan oleh PAS seperti hasrat ingin memperkasakan Syariat Islam di
Malaysia serta isu-isu keagamaan lain, tidak mendapat sokongan yang
menyeluruh, termasuklah isu masalah siasatan rasuah terhadap BN dan PH.
Ia tertumpu kepada tiga tanah kelahiran Ulama ini sahaja yang menerima
isu agama.
Rakyat di negeri-negeri ini masih
berkeyakinan dengan kesungguhan PAS bagi memartabatkan Islam di Malaysia
ini. Oleh kerana itulah, walaupun PAN yang juga menjanjikan asas Islam
di dalam kempennya, gagal mencuri banyak kerusi seperti yang mereka
harapkan di sini. Namun Selangor paling bersedih.
Saya percaya ini kerana PAS Selangor
tidak mempunyai bilangan pengundi teras yang cukup, di samping tindakan
ahli BN sendiri yang berpaling tadah kepada PH, menghasilkan keputusan
ini.
Jadi jelas, PAS masih diyakini rakyat
dalam memperjuangkan Islam di Malaysia. PAS tetap sinonim dengan Islam.
PAS tiada masalah dengan salah laku. Akan tetapi sokongan untuk PAS,
tidak menyeluruh, hanya tertumpu kepada tempat-tempat khusus. Saya yakin
PH kali ini menggunakan taktik yang sama yang pernah digunakan BN pada
tahun 2004.
Mereka menyasarkan pemindahan pengundi
secara sekata ke banyak tempat sasaran mereka. Mereka sudah bersedia
dengan persempadanan semula yang mana tidak akan menjejaskan mereka.
Mereka bekerja bertahun-tahun untuk ini, bersungguh-sungguh berkempen
mengajak orang ramai menyertai mereka sambil memalitkan isu-isu kepada
BN dan PAS.
Ditambah dengan perubahan undi oleh
orang BN sendiri, mereka berjaya. Ahli dan penyokong PAS mesti juga
melihat isu pengagihan pengundi ini sebagai salah satu strategi. Mereka
mesti membantu PAS dalam hal ini. Tidak hanya terkumpul jumlah undi di
dalam satu Dun atau Parlimen dan mendapat majoriti yang banyak, tetapi
tetap menang satu kerusi sahaja.
Kita dipandu sistem ‘First past post’ iaitu kiraan kerusi parti mana yang sampai jumlah majoriti dahulu dan bukannya ‘Propotional representative’
yang mengira undi keseluruhan negara bagi kemenangan sesuatu parti.
Ingat PRU lalu? Pakatan Rakyat memenangi 52 peratus undi popular, tetapi
tetap kalah kerana kerusi yang dimenangi kurang daripada BN.
Ahli dan penyokong PAS jangan fobia
dengan taktik ini. Ia adalah sah di sisi undang-undang asalkan kita
mematuhi kehendak SPR. Ahli dan penyokong PAS mesti juga bekerja keras
bagi memenangi hati rakyat terutama pengundi-pengundi baharu untuk
menjadi pengundi tegar PAS.
Kita berkerja atas kepercayaan kita
melakukan semua ini untuk Islam. Kita tidak kisah kalah, kerana kita
pernah kalah banyak kali. Kita tidak peduli jika tidak menjadi kerajaan
kerana kita biasa menjadi pembangkang. Tetapi kita hendaklah kalah
dengan strategi-strategi yang telah kita lakukan dengan baik. Jadi kalah
kita kalah bermaruah.
Sekarang perancangan PAS sudah bagus,
tetapi perlukan lagi kerja keras dari ahli dan penyokong bagi
mendaulatkan Islam di Malaysia yang tidak ada parti lain dan dipercayai
rakyat selain PAS. Kita mesti pertahankan ini. Kita mesti mengambil
tempat Umno bagi memujuk ahli-ahli mereka memberikan kepercayaan kepada
PAS setelah Umno dahulu mengecewakan mereka dengan palitan dosa dan noda
yang tidak terhitung. PAS harapan Melayu Islam menggantikan Umno dengan
identiti yang sangat jauh lebih baik atas nama Islam, kerana PAS telah
membuktikannya. Ayuh kita dekatkan diri dan yakinkan ahli Umno untuk
menyokong PAS. harakahdaily
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan