Ahad, 20 Mei 2018

Chef Zam rayu turunkan harga susu

Manzaidi Mohd Amin
Chef Zam
Chef Zam


KUALA LUMPUR – Harga susu di pasaran masa kini agak tinggi untuk dijadikan amalan harian bagi kegunaan rakyat Malaysia, kata Chef Zam atau nama sebenarnya, Zamzani Abdul Wahab.

Oleh itu, katanya, ia menjadi lambakan krimer manis yang sebenarnya adalah gula tanpa khasiat tenusu oleh pengguna.

Sambil menyatakan sokongan dengan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa kerajaan perlu melakukan kajian lanjut dari segi permintaan dan bekalan susu di pasaran, beliau berkata, ramai pengguna tidak sedar selama ini mereka menggunakan bukan susu tulen.

“Ini saya amat setuju. Harga susu yang menjadi makanan asas lengkap sejak lahir di pasaran kita amat tinggi untuk dijadikan amalan harian oleh kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya yang dipetik dari status Twitter beliau.

Semalam Nurul Izzah, juga melalui Twitternya menyatakan, perlunya kajian lanjut dari segi permintaan dan bekalan susu di pasaran dengan mengembalikan tumpuan terarah kepada pembangunan industri tenusu domestik.

Seorang netizen yang menamakan dirinya Albadeen turut meninggalkan komen dalam Twitter Nurul Izzah dengan merayu agar beliau memainkan peranan mempengaruhi kerajaan agar menurunkan harga susu.

“Baik harga susu tepung mahu susu segar, agar ramai yang dapat (menikmati) nutrisi yang sepatutnya. (Ini kerana) harga sekarang adalah terlampau mahal. Kesian kepada mereka yang tidak mampu,” kata netizen itu.

Nurul Izzah yang prihatin dengan keluhan itu berkata, ia antara komitmen Kerajaan PH yang akan dilunaskan kerana usaha untuk menurunkan harga susu di pasaran adalah agenda penting bagi negara untuk memastikan pembesaran serta nutrisi anak-anak terjaga. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: