KUALA LUMPUR – Menteri Pelajaran yang baharu, Dr. Maszlee Malik perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara termasuk merombak semula kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) dan mendaulatkan Bahasa Melayu supaya digunakan dalam semua aspek pengajaran dan pembelajaran.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ketika mengemukakan cadangan itu, turut meminta menteri berkenaan mengkaji semula falsafah pendidikan agar benar-benar membimbing mereka, diasuh dan dididik mengikut tahap keupayaan serta keperluan semasa.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh, sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran diperkasakan dalam mengharungi isu pendidikan yang tidak pernah reda sebelum ini.
“Kita ucapkan tahniah atas pelantikannya. Kita yakin dia dapat merealisasikan aspirasi nasional yang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Sirajuddin yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa, Dr Maszlee perlu merombak semula struktur pendidikan sebelum ini di kementerian itu dengan menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang lengkap serta standard di semua SK dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).
“Contohnya, akses ke sekolah seperti jalan berturap dan kemudahan elektrik serta bekalan air bersih, dan kebanyakan SK dan SMK pula masih tidak mempunyai dewan dan kemudahan sukan yang lengkap.
“Beliau juga perlu memperkasakan SK dan SMK dengan membekalkan tenaga pengajar dan staf sokongan yang mencukupi, memandangkan majoriti anak Melayu mendapat pendidikan awal di situ.
“Kekurangan tenaga pengajar yang terlatih akan menghasilkan murid yang tidak seimbang dari segi intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial,” katanya.
Kata beliau, SK adalah sebuah institusi pendidikan yang paling awal bagi murid mendapat pendidikan secara formal, oleh itu, kurikulumnya mestilah sesuatu yang sesuai dan mampu menarik murid daripada semua bangsa untuk belajar.
Sirajuddin turut mencadangkan kementerian itu memperkasakan institusi pendidikan Islam seperti sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) selaras dengan peruntukan Perlembagaan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.
“Perkasa percaya Dr Maszlee sedar Kementerian Pelajaran sekarang sedang dilanda isu-isu yang perlu ditangani segera seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) iaitu sijil yang dianugerah kepada murid mendapat pendidikan di sekolah menengah Cina, yang tidak menggunakan kurikulum kebangsaan.
“Pengajaran dan pembelajaran adalah sepenuhnya dalam bahasa Cina. Kementerian tidak sepatutnya mengiktiraf UEC untuk digunakan dalam mana-mana urusan kemasukan ke universiti, kolej atau tujuan lantikan perjawatan kerajaan.
“Mengiktiraf UEC adalah melanggar Akta Pendidikan 550 yang hanya mengiktiraf pendidikan yang berteraskan kurikulum kebangsaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan