Datuk Seri Azmin Ali memberi bayangan bahawa Selangor bakal mendapat menteri besar baru dalam tempoh terdekat.
Kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan kerajaan negeri itu ditafsir berdasarkan kenyataan Azmin kepada media selepas mengadakan pertemuan anggota dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Kata Azmin kepercayaan yang diberikan oleh Dr Mahathir kepadanya untuk menerajui sebuah kementerian baru itu membawa bersama cabaran yang besar untuknya.
"Perdana menteri menyatakan kepada saya sebaik saya masuk ke pejabat menjelang minggu depan kami akan berbincang dan mengkaji semula semua projek mega yang diluluskan di bawah Datuk Seri Najib Razak dan juga semua projek infrastrukur.
"Keutamaan kami ialah projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat seperti elektrik, bekalan air dan perumahan awam," katanya.
Azmin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor untuk penggal kedua pada 11 Mei lalu selepas Pakatan Harapan berjaya menguasai Dewan Undangan Negeri Selangor dua hari sebelumnya.
Selain menjadi anggota DUN Bukit Antarabangsa Azmin juga memenangi kerusi parlimen Gombak.
Dr Mahathir yang juga pengerusi HARAPAN semalam mengumumkan barisan kabinetnya yang turut menamakan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi.
Mengakui terkejut dengan pelantikan itu Azmin berkata Dr Mahathir ada memberi bayangan sedikit mengenainya namun tidak memberikan butiran secara spesifik.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan beliau untuk saya meneraju sesuatu kementerian yang kanan dan penting serta baru.
“Saya juga telah mendapat penjelasan daripada perdana menteri tentang peranan yang perlu saya mainkan dan tanggungjawab kepada saya, dan beliau meminta saya untuk kembali semula memberi cadangan tambahan untuk memastikan usaha membantu dan merancang plan dan strategi untuk membangunkan ekonomi Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu berkata sehingga hari ini beliau masih menteri besar Selangor dan akan bertemu Sultan Selangor bagi membincangkannya.
Katanya jika nanti keputusan yang dibuat adalah untuk beliau membantu kerajaan perseketuan, jawatan menteri besar Selangor akan dilepaskan.
Beliau juga memberi jaminan proses peralihan kuasa itu akan dijalankan dengan baik dan teratur kerana HARAPAN mendapat mandat yang begitu besar daripada rakyat Selangor
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan