Sabtu, 19 Mei 2018

Bekas MB antara dilantik exco Perak

Bernama

   

Bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merupakan antara 10 yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Anggota Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Perak hari ini.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan berlangsung di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

Lima daripada Exco yang dilantik adalah daripada DAP iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A. Sivanesan; Wong May Ing (Pantai Remis); Yong Choo Kiong (Tronoh); Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi) dan Lee Chuan How (Pasir Pinji).

Sementara itu, selain Muhammad Nizar yang merupakan ADUN Sungai Rapat, dua lagi Exco yang mewakili AMANAH adalah Asmuni Awi (Manjoi) dan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim (Titi Serong).

Dua lagi Exco adalah dari PKR iaitu Tan Kar Hing (Simpang Pulai) dan Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau).

Portfolio exco akan dimaklumkan

Bagaimanapun, portfolio semua exco berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi 29 kerusi DUN, namun berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat majoriti mudah 31 kerusi setelah dua ADUN Barisan Nasional (BN) menyokong HARAPAN.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang merupakan ADUN Chenderiang mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Perak ke-12 pada 12 Mei lepas.

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menewaskan calon BN, Chong Shin Heng dan Nordin Hassan daripada PAS dengan majoriti 39 undi.
-Bernama


Tiada ulasan: