Sabtu, 19 Mei 2018

Khairy: Jawatan tinggi Umno tak dipertanding punca BN kalah PRU

 
Ketua Pemuda Umno itu berkata, budaya menang tanpa bertanding bagi jawatan tertinggi parti memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap Umno dan BN. 


Khairy Jamaluddin berkata, keputusan tidak mempertandingkan sesetengah jawatan tertinggi Umno akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada parti.


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata budaya menang tanpa bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu antara punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Katanya, budaya itu memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap Umno dan BN.

“Kita tidak boleh ada peraturan itu lagi (menang tanpa bertanding) dalam Umno. Cadangan itu telah menghantar isyarat buruk kepada orang ramai,” katanya selepas menghadiri mesyuarat ahli Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

“Saya tak setuju kalau ada apa-apa jawatan yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno kali ini. Saya memang gembira kalau ada orang sokong saya, tapi apa-apa jawatan dalam Umno mesti dipertandingkan.”

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, keputusan tidak mempertandingkan sesetengah jawatan tertinggi Umno akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada parti.

“Seolah-olah kita tak buka ruang demokrasi kepada ahli-ahli kita, saya fikir lebih baik hentikan omong kosong ini tidak ada pertandingan.

Terdahulu, Datuk Seri Ali Rustam berkata, Umno Melaka mencadangkan jawatan presiden yang dipangku Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presiden yang dipangku Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dipertandingkan.

Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2017 pada Disember lalu meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini.

Usul yang dibentangkan Pemuda Umno itu, diluluskan selepas dibahas pada hari ke-2 Perhimpunan Agung Umno 2017.

Tiada ulasan: