Isnin, 9 April 2018

Pentas ceramah BN ‘diserang’ telur busuk

THE MALAYSIAN TIMES
 


ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah hari ini membuat laporan polis selepas pentas untuk mengadakan ceramah di Padang Awam Taman Derga Jaya, di sini dibaling dengan beberapa biji telur busuk.

Setiausaha BN negeri Datuk Md Rozai Shaifian berkata kejadian itu dipercayai berlaku awal pagi tadi berikutan pentas telah siap sepenuhnya sejak petang semalam.

“Akibat perbuatan itu permaidani di atas pentas terpaksa ditukar dan Setiausaha Penerangan UMNO negeri Sohaimi Zinal Abidin telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar pada pukul 1 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Cubaan (sabotaj) ini tidak akan menjejaskan ceramah dan ia diteruskan seperti yang dirancang. Semangat petugas parti juga tidak terjejas dan saya minta semua premis parti mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku lagi,” katanya.

Program ceramah pada pukul 9 malam ini yang bertajuk “Menolak Pakatan Hipokrasi” anjuran BN Kedah itu akan dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Tiada ulasan: