Isnin, 9 April 2018

Klimaks PRU14 bermula, Najib ‘muktamadkan’ senarai calon BN esok?

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional dijangka akan mengadakan pertemuan dengan dengan Presiden parti – parti komponen BN secara berasingan esok bagi memutuskan senarai nama-nama calon untuk Pilihan Raya Umum Ke–14 (PRU14).

Najib juga dijangka akan mengadakan perjumpaan tertutup dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk muktamadkan senarai calon serta membincangkan beberapa isu yang berbangkit.

Seorang Presiden parti komponen BN mengesahkan kepada The Malaysian Times (TMT) bahawa beliau akan menemui Perdana Menteri esok berhubung soal calon.



“Ya, saya akan jumpa PM esok,” katanya dengan ringkas.

TMT dimaklumkan MCA dan Gerakan sudah hampir 100% ‘memuktamadkan’ dan ‘menyelesaikan’ senarai calon masing-masing di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali kawasan-kawasan yang wujud persaingan antara UMNO dan MCA.

MIC

Kedudukan MIC yang menjadi komponen ketiga terbesar di BN dikatakan masih ‘terumbang-ambing’ dan berada dalam status ‘keliru’ di mana belum ada satu kata pemutus.

Sumber dalaman turut mengesahkan Presiden MIC Datuk Seri Dr. S.Subramaniam dijangka akan menemui Najib untuk menyelesaikan polimik senarai calon parti itu yang masih ‘tergantung’.



Parti itu dikatakan menghadapi cabaran yang getir untuk ‘memilih’ calon yang sesuai termasuk berdepan dengan tekanan yang kuat dari dalam parti dan luar parti di beberapa kawasan yang mereka bakal tandingi.

Presidennya juga dikatakan tidak ‘konsisten’ dalam proses menyiapkan senarai calon parti di mana menurut satu sumber itu lagi, senarai MIC kerap ‘bertukar’.

Najib juga dikatakan bersikap ‘berhati-hati’ dalam bab proses pemilihan calon semua parti komponen kali ini.

Beliau juga dikatakan memiliki pasukan petugas khas yang memberikan laporan serta kajian terkini mengenai situasi politik terkini termasuk prospek calon dan sebagainya.

Senarai calon UMNO juga dikatakan sudah hampir pasti disiapkan dan dipersetejui kecuali di beberapa kawasan yang wujud ‘persaingan merebut kawasan’ antara UMNO dan parti komponen yang lain khususnya MCA. Contohnya di Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak.

Mesyuarat esok juga dijangka akan memberi tumpuan mengenai bab pertukaran kerusi dikalangan parti komponen BN.

Menurut sumber, Perdana Menteri juga dijangka akan mengambil satu keputusan ‘terakhir’ berhubung kontroversi calon di Parlimen Cameron Highlands melibatkan MIC dan parti MyPPP di mana Presidennya Tan Sri M. Kayveas tetap tidak berganjak daripada pendiriannya untuk bertanding di sana.



Ketika dihubungi TMT hari ini, Kayveas berkata: “Saya tetap dengan pendirian saya untuk bertanding di Cameron. Saya harap Perdana Menteri akan membuat satu pilihan yang tepat berdasarkan sentiment rakyat”, katanya.

Pengumuman senarai calon BN dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat ini, selewat-lewatnya minggu ini, menurut sumber itu lagi.

Pada PRU ke 13, BN menang 133 kerusi Parlimen, manakala pakatan 89 kerusi.

Berikut keputusan penuh bagi 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengikut pecahan negeri:

PERLIS (3): BN (3)
KEDAH (15): BN (10), PKR (4), Pas (1)
KELANTAN (14): BN (5), Pas (9)
TERENGGANU (8): BN (4), Pas (4)
PULAU PINANG (13): BN (3), DAP (7), PKR (3)
PERAK (24): BN (12), DAP (7), PKR (3), Pas (2)
PAHANG (14): BN (10), PKR (2), DAP (1), Pas (1)
SELANGOR (22): BN (5), PKR (9), DAP (4), Pas (4)
WP KUALA LUMPUR (11): BN (2), DAP (5), PKR (4)
WP PUTRAJAYA (1): BN (1)
WP LABUAN (1): BN (1)
NEGERI SEMBILAN (8): BN (5), DAP (2), PKR (1)
MELAKA (6): BN (4), DAP (1), PKR (1)
JOHOR (26): BN (21), DAP (4), PKR (1)
SABAH (25): BN (22), DAP (2), PKR (1)
SARAWAK (31): BN (25), DAP (5), PKR (1)

Tiada ulasan: