Isnin, 9 April 2018

PAS tanding 40 DUN, 19 Parlimen di Johor

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: PAS Johor mengesahkan akan meletakkan sekurang-kurangnya 40 calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala 19 calon lagi bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussein, berkata senarai penuh calon yang bertanding sudah siap sejak persempadanan semula diluluskan.
 
"Bagaimanapun, sedikit perubahan dalam pelan asal iaitu ada beberapa calon akan bertukar ke kawasan lain, ada yang tidak bertanding, selain terdapat beberapa kawasan digantikan dengan calon baharu," katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto PAS Johor, di sini, hari ini.
 
Abdullah berkata, semua individu yang tercalon itu mempunyai latar belakang yang kukuh iaitu terdiri daripada pemimpin PAS (ulama), profesional dan aktivis sosial.
 
"Walaupun senarai penuh calon sudah siap sepenuhnya, saya tidak boleh mendedahkan nama calon. Ia akan diumumkan secara rasmi oleh kepemimpinan PAS Pusat.
 
"Pengumuman senarai penuh nama calon serta kerusi yang ditandingi akan diumumkan serentak dan calon juga akan diperkenalkan kepada umum pada 19 April ini," katanya.
 
Abdullah berkata, PAS disokong oleh gabungan Gagasan Sejahtera, yang dibentuk daripada pertubuhan berkaitan politik termasuk Ikatan, Berjasa serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
 
Setakat ini, katanya, gagasan itu dijangka bertanding di 130 kerusi Parlimen.
 
Selain itu, Abdullah berkata, manifesto itu menggariskan tujuh elemen membabitkan politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, alam sekitar dan keselamatan.
 
"Manifesto itu dinamakan Johor Sejahtera, bertepatan dengan keperluan rakyat Johor dan harapan mereka terhadap tadbir urus negara yang cekap, serta menyasarkan beberapa golongan utama iaitu golongan belia dan B40.
 
"Antara kandungan manifesto adalah memansuhkan sistem monopoli 'ali baba' dan menyelesaikan isu setinggan serta pemilikan rumah di negeri ini," katanya dipetik BH Online.
 
Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Johor, Atiah Ahmad, berkata pihaknya gembira apabila lima calon wanita disenaraikan bertanding pada PRU-14 di Johor berbanding tiga calon pada PRU lalu.
 
 

Tiada ulasan: