MARANG: Susulan
pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
yang berkuatkuasa pada esok bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum (PRU)
Ke-14 dapat diadakan, PAS telah bersiap sedia.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang berkata, PAS telah bersiap sedia kerana telah
menjangkakan pembubarannya pada bila-bila masa.
Ini kerana menurutnya, menjadi kelaziman pilihan raya umum di Malaysia tidak diberitahu awal oleh parti pemerintah.
Maklum beliau, persiapan parti itu
termasuk manifesto di peringkat PAS Pusat dan negeri serta pemilihan
calon bertanding yang diluluskan Majlis Syura Ulama (MSU).
"Kita (PAS) telah bersedia bila-bila
masa sebenarnya. Oleh kerana, pilihan raya di Malaysia ini dia tidak
beritahu awal. Kita sudah jangka akan diumumkan bila-bila masa.
"Sebab itu, kita (PAS) buat persediaan
awal, daripada manifesto yang kita telah lancarkan sama ada peringkat
pusat, peringkat negeri termasuklah calon-calon keseluruhannya sudah
bersedia.
"Dan (calon) sudah diluluskan oleh
Majlis Syura Ulama (MSU), kecuali jika ada permohonan Kawasan-kawasan
baharu yang akan kita bertanding," ujar beliau dalam satu sidang media
di kediamannya Kampung Rusila, selepas solat Jumaat tadi.
Sehubungan itu katany, PAS akan bertanding tidak kurang dari 130 kerusi daripada 222 buah kerusi parlimen seluruh negara.
Namun, kata Dato' Seri Abdul Hadi,
kemungkinan bertanding lebih dari 130 kerusi boleh berlaku setelah
mendapat respon beberapa parti politik serta NGO dalam Gagasan
Sejahtera.
"Kita (PAS) akan bertanding tidak
kurang dari 130 kerusi (parlimen) dan dilihat kepada respon yang ada
(sekarang) di kalangan kawan-kawan parti politik dan NGO (Badan Bukan
Kerajaan) yang minta kita (PAS) bertanding (lebih) lagi dan mungkin
boleh jadi lebih dari 130 kerusi parlimen yang akan kita (PAS)
bertanding," tegasnya.
Pengumuman Khas Perdana Menteri itu dibuat di bangunan Perdana
Putra, Presint 1, secara langsung di RTM1 setelah diperkenankan oleh
Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad ke-V.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinetnya. -HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan