DPPM menyelar pandangan
Tun Mahathir yang menyatakan hasrat untuk membatalkan pembinaan projek
Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU
ke-14. Sikap Tun Mahathir seolah-olah menunjukkan beliau berdendam pada
rakyat di negeri-negeri Pantai Timur yang ternyata telah berlaku sejak
zaman beliau menjadi Perdana Menteri lagi.
PAS berpengalaman dicengkam ekonomi dan
ditarik subsidi minyak Petronas di Kelantan dan Terengganu ketika zaman
pemerintahan beliau. Rekod pengkhianatan kepada rakyat Pantai Timur
tidak berakhir begitu sahaja, Tun Mahathir sekali lagi di waktu
pemerintahan beliau, dengan sengaja menyekat pemberian ikut kepala (capitation grant) kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Pemberian capitation grant ini sepatutnya dibayar kembali kepada kerajaan negeri kerana ia merupakan hasil kutipan cukai dari rakyat negeri tersebut.
Namun, dendam kesumat Tun Mahathir
mengatasi segalanya. Beliau lebih berselera menjadikan rakyat Pantai
Timur sebagai mangsa nafsu peribadi akibat kegagalan agenda politik
beliau dahulu.
Kali ini, Pengerusi PH itu meluahkan
hasrat untuk membatalkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
yang sedang giat dijalankan. Pembinaan yang bertujuan menghubungkan
pelabuhan utama di Pantai Barat ke Pantai Timur Semenanjung ini
sepatutnya dilihat dari aspek makro bukan semata atas sentimen politik.
Sememangnya projek infrastruktur
berimpak tinggi ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi di Wilayah
Ekonomi Pantai Timur (ECER) dari aspek kesalinghubungan antara
kawasan-kawasan industri, peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar,
pendidikan, pengkomersialan barang dagangan, di samping menawarkan
perjalanan alternatif kepada rakyat.
PAS kekal berpendirian untuk bersama
membangun ekonomi rakyat khususnya di Wilayah Ekonomi Pantai Timur
(ECER) yang mewakili 51 peratus daripada Semenanjung Malaysia. Di
samping itu, PAS juga melihat Foreign Direct Investment (FDI) baik untuk, bukan sahaja silang-ilmu dan kepakaran, tetapi juga memberi kebaikan untuk aliran ekonomi negara dan rakyat.
Walau bersetuju dengan pembangunan ECER,
PAS menekankan perlunya berbelanja dengan berhemah, telus serta tiada
ketirisan berlaku. Amalan rasuah perlu dibendung supaya kos tidak
melambung tinggi kerana kelak akhirnya yang rakyat yang terpaksa
menanggung beban akibat sikap tidak bertanggungjawab tersebut.
Rakyat tempatan perlu diutamakan dalam
sektor pekerjaan. Agak malang jika impak atau limpahan ekonomi daripada
projek berskala besar sebegini tidak membawa manfaat kepada rakyat
setempat. Satu sudut, Kerajaan perlu benar-benar memperhalusi konsesi
dengan tujuan supaya tidak hanya sebelah pihak sahaja yang mendapat
manfaat daripada projek atau limpahan ekonomi tersebut.
Akhir kata, DPPM ingin mengingatkan Tun
Mahathir agar bersikap matang dalam berpolitik dan mengutamakan
kepentingan rakyat khususnya di kawasan Pantai Timur. Jangan kerana
kepentingan peribadi, keperluan rakyat di’bakulsampah’kan
“Mara Menuju Cita”
“Sejahtera Bersama Islam”
*MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan