JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) memutuskan kesemua rakan komponennya
untuk menggunakan logo PKR pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).
Pengumuman dibuat Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ceramah
Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, Johor Bahru, malam tadi.
Dr Mahathir berkata, PKR, DAP, Amanah dan PPBM bersetuju bagi menggunakan simbol itu bagi PRU14 nanti.
"Saya dengan segala sukacita ingin maklum kepada tuan-tuan dan
puan-puan di seluruh Malaysia dan dunia bahawa dalam PRU14, kami akan
guna satu simbol iaitu simbol parti Keadilan.
"Bukan mudah hendak suruh setiap parti yang ada dalam Harapan (PH)
menggugurkan simbol mereka. DAP sudah guna simbol roket hampir 60 tahun.
Yang lain juga sayang akan simbol masing-masing.
"Oleh kerana ingin bersatu padu, maka setuju empat parti guna satu
simbol. Saya amat gembira kerana sesuatu yang tidak mungkin dilakukan
dahulu, sudah dilakukan oleh kita semua," katanya.
Dalam majlis sama, PH turut mengumumkan dua manifesto untuk rakyat
Johor iaitu 10 janji ditawarkan kepada untuk tempoh lima tahun dan 10
janji lagi bagi tempoh 100 hari selepas diberikan mandat membentuk
kerajaan negeri.
Bagi tawaran bagi tempoh lima tahun, 10 janji itu antaranya
mengembalikan biasiswa Kerajaan Johor, mewujudkan Universiti Johor,
menyediakan 200,000 peluang pekerjaan, membina 100,000 unit Rumah Mampu
Milik Johor (RMMJ), melaksanakan Skim Sewa-Beli RMMJ, menyediakan tapak
sekolah bagi sekolah agama persendirian, sekolah jenis kebangsaan (SJK)
Cina dan SJK Tamil.
Manakala bagi tawaran untuk tempoh 100 hari, PH menawarkan 10janji
antaranya jawatan Menteri Besar bagi tempoh duapenggal maksimum, tender
terbuka semua kontrak kerajaan negeri, air percuma kepada golongan B40.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan