KUALA LUMPUR: Dua puluh tiga penumpang termasuk 16 pelancong warga
China cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki berlanggar dengan
sebuah kereta di Kilometer 17.1 Jalan Genting Highlands menghala ke
Kuala Lumpur, malam semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusri Abdullah Sani
berkata kemalangan berlaku pada jam 7.24 malam ketika kedua-dua
kenderaan itu dalam perjalanan turun dari pusat peranginan tersebut.
"Sebaik tiba di tempat kejadian brek bas berkenaan dipercayai
bermasalah dan melanggar kereta Honda yang berada di hadapannya sebelum
terbabas dan melanggar penghadang jalan.
"Bagaimanapun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan," katanya kepada sebuah agensi berita.
Yusri berkata 14 daripada pelancong asing berkenaan ialah wanita manakala dua lagi lelaki.
Turut cedera ialah pemandu pelancong serta pemandu bas warga tempatan
dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu lima orang yang berada dalam Honda itu dihantar ke hospital sama.
Menurut Yusri ada lima orang di dalam kereta berkenaan termasuk seorang lelaki.
Kesemua mangsa berusia 30 hingga 50-an itu dihantar ke hospital
berkenaan dengan lapan ambulans milik bomba, Angkatan Pertahanan Awam
Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan