KEADILAN DAILY
Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar akan mendermakan wang RM1 juta yang dimenanginya dalam saman fitnah pada 2015.
Nurul Izzah berkata wang saman itu akan disalurkan kepada anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Wang itu bakal diperolehi daripada bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail dan Khalid masing-masing diarahkan membayar RM600,000 dan RM400,000 kepada Nurul Izzah kerana bersalah memfitnahnya berhubung lawatan beliau ke Filipina.
“Mereka membuat pelbagai tuduhan terhadap saya (kononnya sebagai pengkhianat). Tetapi saya seorang patriot,” katanya.
“Dalam kita memasuki PRU ke-14 ini adalah peringatan kepada kita untuk mengamalkan politik baru dan bersih. Mereka menyerang saya di Parlimen menggunakan media arus perdana,” katanya sewaktu ditemui wartawan selepas keputusan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam Nurul Izzah, Sivarasa Rasiah berkata keputusan itu adalah peringatan daripada mahkamah kepada mereka yang berkuasa untuk memastikan kenyataan mereka adil dan tidak bersifat fitnah.
Khalid dan Ismail turut diarahkan membayar kos berjumlah RM80,000, dan membenarkan injunksi melarang mereka mengulangi perkataan fitnah dalam mana-mana penerbitan atau penyiaran.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaluddin dalam keputusannya berkata, Khalid telah memfitnah Nurul Izzah dalam satu acara di masjid Bukit Aman pada 22 Mei 2015.
Bagi Ismail Sabri pula, Faizah berkata beliau membuat fitnah pada hari sama dalam majlis berkhatan anjuran Umno Bahagian Bera.
Dalam acara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sementara itu mendakwa Nurul Izzah telah mengkhianati negara dan mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan boleh dipenjara bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan