TAMPA: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA)
bersedia melancarkan kapal angkasa bersaiz mesin basuh bernilai AS$337
juta (RM1.31 bilion), meluaskan pencarian planet di luar sistem suria
yang mungkin menampung hidupan.
Satelit Peninjau Transit Exoplanet atau TESS, dijadualkan dilancarkan
hari ini jam 6.32 petang waktu tempatan dengan roket Falcon 9 SpaceX
dari Cape Canaveral, Florida.
Matlamat utamanya untuk dua tahun akan datang ialah mengimbas lebih
200,000 bintang paling terang bagi kewujudan planet yang mengelilinginya
dan berkelip secara terang dikenali sebagai transit.
NASA meramalkan, TESS akan menemui 20,000 exoplanet atau planet di luar
sistem suria, termasuk lebih 50 bersaiz Bumi dan sehingga 500 lain
kurang dua kali ganda saiz Bumi.
"Ia akan mengorbit bintang paling terang terhampir. Kita mungkin
menemui planet yang mengorbit bintang dan boleh dilihat dengan mata
kasar.
"Jadi untuk beberapa tahun akan datang, kita mungkin boleh berjalan dan
menuding ke arah bintang yang memiliki planet. Ini adalah masa depan,"
kata saintis TESS di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard, NASA,
Elisa Quintana kepada media semalam.
TESS direka susulan misi kapal angkasa lepas Kepler, kali pertama
jenisnya dilancarkan pada 2009. Kapal angkasa berusia itu kini kehabisan
bahan api dan bakal tamat operasi.
Kepler menemui kumpulan besar exoplanet dengan memfokuskan satu
bahagian langit yang mengandungi kira-kira 150,000 bintang seperti
matahari.
Misi Kepler menemui 2,300 exoplanet disahkan dan ribuan lagi calon
planet namun kebanyakannya terlalu jauh dan malap untuk dikaji dengan
lanjut. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan