SHAH ALAM: PPBM hari ini mengumumkan bertanding di dua kerusi Parlimen
dan enam kerusi DUN di Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dua kerusi Parlimen itu adalah Masjid Tanah dan Alor Gajah.
Kerusi-kerusi DUN pula ialah Ayer Limau, Lendu, Asahan, Paya Rumput, Telok Mas, dan Sungai Rambai.
Pengumuman itu dibuat PPBM dalam satu kenyataan yang ditandatangani
bersama Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri
Muhyiddin Yassin, dan Timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Calon-calon kerusi Parlimen yang diletakkan adalah, Ketua Biro
Perundangan Masjid Tanah Datuk Dr Sabirin Ja'afar bertanding di Masjid
Tanah dan Pengerusi Negeri Melaka Mohd Redzuan Md Yusof di kerusi
Parlimen Alor Gajah.
Bagi DUN pula, Ketua Bahagian Alor Gajah Zamzuri Arifin bertanding di
DUN Asahan, Naib Ketua Bahagian Masjid Tanah Ir Ridhuan Affandi Abu
Bakar (Lendu), Ruslin Hasan (Ayer Limau), Ketua Bahagian Tangga Batu
Mohd Rafiq Naizamohideen di DUN Paya Rumput, Ketua Bahagian Kota Melaka
Noor Effandi Ahmad (Telok Mas), dan Ketua Srikandi Jasin Azalina Abdul
Rahman (Sg Rambai).
Sementara itu, bagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pula, PPBM
mempertaruhkan calonnya di dua kerusi iaitu di Titiwangsa dan Putrajaya.
Ahli akademik Datuk Dr Samsu Adabi Mamat dipilih sebagai calon bagi
kerusi Parlimen Putrajaya, berdepan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor yang buat kali ketiga berturut-turut mengekalkan kerusi Parlimen
P125 Putrajaya untuk Barisan Nasional (BN).
Manakala, Ketua Srikandi PPBM Rina Harun ditempatkan di kerusi Parlimen Titiwangsa.
Kerusi berkenaan kini disandang Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga dari
BN menewaskan calon PAS Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dengan majoriti 866
undi pada PRU13.
Pengumuman tersebut dijangka menyaksikan pertarungan tiga penjuru di
kerusi Parlimen Putrajaya dan Titiwangsa memandangkan PAS sebelum ini
mengumumkan untuk bertanding di kedua-dua kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan