Isnin, 9 April 2018

Khairuddin Othman keluar PAS, syukur kata Sallehen Mukhyi

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: "PAS Selangor bersyukur ADUN Paya Jaras Khairudin Othman akhirnya keluar parti dan memutuskan untuk menyertai PKR," kata Pesuruhjaya PAS negeri Sallehen Mukhyi. 
 
Selain menyifatkan ianya bukan kejutan, Sallehen berkata Khairudin sebelum ini beberapa kali memberi banyangan mengenai pegangan terbarunya itu.
 
"Pertama sekali, saya lahirkan rasa syukur kepada Allah kerana selama ini dia ada kehendak dia dan kecenderungan dia terjawab hari ini. Masuk PKR. Kita pun tidak perlu orang yang tidak yakin dalam perjuangan PAS. 
 
"Itu memudahkan kita untuk buat proses seterusnya. Kita dah jangka, sebab itu bukan satu kejutan lagi. Kita memang dah jangka dan ada diantara kita pun memang dah tahu dah. Dia pun sebelum ini memang mengeluarkan beberapa 'gambaran'," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini. 
 
Khairuddin semalam menamatkan teka-teki berhubung pegangan politiknya apabila mengumumkan secara rasmi mengumumkan keluar daripada PAS dan menyertai PKR.
 
Khairudin menyifatkan penyertaannya itu adalah dengan kerelaan hatinya, disamping mengambil kira kekuatan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Beliau kemudiannya menyerahkan kepada pucuk pimpinan PKR sama ada mahu beliau terus pertahankan kerusi DUN Paya Jaras pada PRU14, atau tidak.
 
Mengulas mengenai calon kerusi DUN itu, Sallehen berkata pihaknya sudah mempunyai calon yang berkelayakan untuk mempertahankannya pada pilihan raya kali ini.
 
"Calon ada, kita sudah ada calon. Kita tidak ada masalah dari segi calon. InsyaAllah pengundi PAS takkan lari dan pengundi PAS akan tetap pilih calon PAS. 
 
"Saya fikir suasana dan kita masih percaya dengan 'mood' dikalangan golongan muda terutama pengundi yang mengundi buat kali pertama untuk bersama-sama dengan PAS dalam pilihan raya akan datang ini, untuk tarik pengundi untuk terus mengundi PAS di Paya Jaras," tambahnya. 
 
Awal Januari tahun ini, Khairudin digugurkan sebagai ahli jawatankuasa (AJK) PAS Selangor, selepas hanya kira-kira 3 atau 4 bulan beliau dilantik.
 
Khairuddin sebelum ini digugurkan sebagai setiausaha PAS Selangor dipercayai atas sikapnya yang mesra dengan Pakatan Harapan. 
 
Difahamkan, nama beliau juga tidak disenaraikan sebagai calon PAS pada PRU14 nanti.
 
Untuk rekod, Khairuddin memenangi kerusi DUN Paya Jaras atas tiket PAS pada PRU13 selepas mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhammad Bushro Mat Johor dengan majoriti 5,522.
 
 

Tiada ulasan: