Isnin, 9 April 2018

Tuduhan Mahfuz mahu jejaskan undi Melayu PAS - Zuhdi

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS tidak berasa terkejut dengan fitnah bekas ahlinya, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa parti itu telah menerima sejumlah wang daripada Umno.
 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki berkata, ini memang strategi yang digunakan Pakatan Harapan (PH) termasuk Amanah untuk mengaitkan PAS dengan Umno lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Katanya, strategi yang digunakan gabungan itu semata-mata untuk memastikan sokongan pengundi Melayu yang telah beralih daripada Umno, tidak memilih PAS pada PRU kali ini.
 
"Strategi mereka, undi-undi Melayu yang lari daripada Umno dan BN sekarang, mereka nak tarik supaya tidak pergi kepada PAS, jadi mereka nak tarik supaya undi itu pergi kepada PH.
 
"Jadi strateginya undi PAS bermaksud undi Umno, jadi itu strategi yang mereka akan gunakan sampai ke akhir pilihan raya.
 
"Tetapi PAS kita tahu perkara ini dan kita akan pertahankan PAS daripada strategi fitnah seperti ini yang cuba untuk mengatakan PAS dan Umno ini adalah sama," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Zuhdi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Mahfuz bahawa terdapat tiga orang pimpinan PAS Terengganu telah menerima wang daripada pemimpin Umno tertentu.
 
Dakwa Ahli Parlimen Pokok Sena itu, tiga individu tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS, Ustaz Saiful Bahri Mamat, Bendahari PAS Terengganu, M. Shukrimun Shamsudin, dan Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid.
 
Katanya, wang berjumlah RM1 juta telah dimasukkan melalui akaun khas yang dinamakan Akaun Amanah pada 21 Mac 2018 lalu.
 
Tidak cukup dengan itu, Mahfuz yang kini menyertai Amanah itu juga mendakwa sejumlah RM1.5 juta telah dimasukkan ke dalam akaun Jabatan Pembangunan Pas Pusat (JPP) atau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.
 
Susulan daripada itu, Setiusaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mencabar Mahfuz untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuktikan dakwaannya itu adalah benar.
 
Malah, gesaan sama turut diutarakan individu yang dikaitkan namanya,  Saiful Bahri yang mendesak bekas naib presiden mereka membuat laporan kepada SPRM dan polis.
 
Dah biasa difitnah
 
Mengulas lebih lanjut perkara itu, Zuhdi berkata fitnah sedemikian akan berterusan terhadap parti itu sehingga PRU nanti.
 
Malah katanya, ia bukan sesuatu perkara yang baru kerana PAS juga sudah kerap kali cuba difitnah pihak-pihak tertentu yang mahu menjatuhkan parti itu sebelum ini.
 
"Ini bukan satu perkara yang mengejutkan, sebab sejak dahulu lagi dengan Sarawak Report, dengan apa yang Rafizi cuba dedah tentang penglibatan pimpinan PAS termasuk bekas pimpinan PAS yang dituduh mendapat wang daripada Umno, kemudian pendedahan Husam dan terbaru pendedahan Mahfuz, ini bukan perkara baru.
 
"Dan tidak mustahil selepas ini akan keluar pula gambar cek-cek palsu contohnya, atau gambar akaun-akaun palsu yang menunjukkan PAS menerima duit daripada Umno.
 
"Jadi semua itu kita sudah jangka, di akhir pilihan raya ini kita akan lihat kemungkinan benda ini," ujarnya lagi. 
 
PAS sebelum ini juga pernah didakwa menerima dana politik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM90 juta, menerusi laporan yang dikeluarkan Sarawak Report.
 
Bukan itu sahaja, editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown juga mendakwa Najib memindahkan wang berjumlah lebih RM200 juta kepada bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa sejak 2014.
 
Bagaimanapun, perkara iu dinafikan Nasharudin.
 
Susulan daripada laporan itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak memfailkan saman terhadap Brown.
 
 

Tiada ulasan: