KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu
Belaun, bersama empat lagi pemimpin Parti Rakyat Sarawak (PRS) dipecat
dari parti itu malam ini.
Turut dipecat, penyandang kerusi Parlimen Lubok Antu, Datuk William
Nyalau Badak, serta tiga Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Nyempah Sabot,
Adriana Chumang Nyambong dan Edward Kurik.
Pemecatan lima pemimpin PRS itu diumumkan Presiden parti itu, Tan Sri
Dr James Jemut Masing selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi parti
itu malam ini.
Mengulas pemecatan itu, Masing berkata, Entulu yang juga Timbalan
Presiden PRS dipecat kerana mengingkari keputusan parti untuk tidak
mencalonkannya semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Selangau pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Beliau (Entulu) juga membelakangi parti apabila membuat pengumuman
terbuka bahawa beliau adalah calon Barisan Nasional (BN) untuk
mempertahankan Selangau.
"Jelas beliau melanggar perlembagaan parti dan dengan itu beliau
dipecat daripada parti berkuatkuasa serta merta malam ini," katanya
sambil menunjukkan surat pemecatan yang akan dihantar kepada Entulu,
esok.
Masing berkata, pemecatan Nyalau yang juga Naib Presiden parti itu juga
dibuat dengan alasan yang sama iaitu membuat pengumuman terbuka bahawa
beliau akan bertanding sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi Lubok
Antu.
"Pemecatan Nyempah pula dibuat apabila beliau mengisytiharkan dirinya
sebagai calon bagi kerusi Parlimen Julau (yang disandang Datuk Joseph
Sallang Gandum), sedangkan parti tidak pernah mencalonkannya.
"Adriana Chumang dan Edward pula dipecat kerana bersubahat dengan Entulu dan Nyalau," katanya dipetik BH Online.
Selepas mengumumkan pemecatan itu, Masing memperkenalkan dua calon muka
baru iaitu Rita Sarimah Insol yang akan menggantikan Entulu bertanding
di Selangau dan Robert Pasang Alam yang akan bertanding di Lubok Antu
menggantikan Nyalau.
Beliau turut mengumumkan empat penyandang yang dikekalkan iaitu Datuk
Joseph Sallang Gandum (Julau), Datuk Masir Kujat (Sri Aman), Datuk
Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rajang) dan Datuk Aaron Ago Dagang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan