Isnin, 2 April 2018

Bekas peneroka tanah Ijok buat laporan SPRM

ANTARAPO

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang bekas peneroka tanah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tampil membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini, berkaitan kes penjualan tanah di Ijok.
 
Mohd Fadzil Ibrahim, 65, berkata kehadirannya ke pejabat SPRM pada jam 9.45 pagi tadi berikutan mengesyaki ada pihak terbabit dalam menandatangani perjanjian penyelesaian di Mahkamah Persekutuan sebelum ini, menerima suapan.
 
"Saya hadir hari ini untuk membuat laporan berhubung pihak yang menandatangani perjanjian penyelesaian (membabitkan tanah di Ijok) di Mahkamah Persekutuan.
 
"Pihak berkenaan juga disyaki menerima suapan untuk berkompromi dengan hak dan kepentingan peneroka.
 
"Pendedahan dan perkembangan terbaru berhubung kes tanah Ijok juga menguatkan kemungkinan maklumat diterima peneroka juga benar dan perlu disiasat SPRM," katanya.
 
Mohd Fadzil yang ditemani isterinya membacakan kenyataan ringkas itu kepada media di pejabat SPRM Selangor, di sini, hari ini.
 
Katanya, beliau adalah antara 113 peneroka yang terbabit dalam isu penjualan tanah di Ijok yang turut membabitkan kerajaan negeri.
 
"Kita berharap SPRM dapat melakukan siasatan dengan telus, supaya kemelut isu tanah peneroka dapat dirungkaikan dan diselesaikan segera," katanya.
 
Sebelum ini, media melaporkan pada 20 Mac lalu, SPRM menahan enam individu, termasuk dua yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan isu penjualan tanah milik Kerajaan Selangor di Mukim Ijok.
 
Bagaimanapun, empat lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dibebaskan Mahkamah Majistret Putrajaya, dengan jaminan masing-masing RM25,000 oleh dua penjamin.
 
 

Tiada ulasan: