Sabtu, 10 Februari 2018

Batalkan sembilan projek Rumah Selangorku, kerajaan negeri dikecam

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Langkah kerajaan PKR Selangor membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku dan menjadikan pemaju sebagai kambing hitam terus dikecam serta dipersoalkan pelbagai pihak.
 
Terbaru, Kelab Harmoni Selangor iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi peneraju dalam memperjuangkan isu perumahan di negeri ini tampil mencabar kerajaan PKR Selangor supaya mendedahkan senarai nama pemaju terlibat jika benar sebagaimana didakwa.
 
Pengerusinya, Dr. V. Sunder berkata, alasan pembatalan kononnya gagal mendapatkan status Kebenaran Merancang hanya memperlihatkan sikap tidak jujur kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana sudah tentu kerajaan negeri terlibat sebelum projek itu diluluskan.
 
“Projek Rumah Selangorku ini projek kerajaan negeri dan Kebenaran Merancang ini siapa yang beri kalau bukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD)? Bukankah PBT dan PTD ini terletak di bawah kuasa kerajaan negeri?
 
“Sememangnya banyak ma­salah di sebalik projek Rumah Selangorku ini. Ketelusan pemilihan juga dipersoalkan apabila ada nama pemohon hilang daripada senarai. Kemuncaknya pembatalan inilah dan malang sekali mang­sanya adalah rak­yat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
 
Kerajaan PKR Selangor pada Selasa lalu membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku di enam kawasan perbandaran sekali gus bukan sahaja menyebabkan impian rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah musnah tetapi ada kalangan mereka juga terpaksa menanggung hutang.
 
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad memberitahu, keputusan itu diambil selepas pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan yang diberikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
 
Mengulas mengenai tindakan menuding jari kepada pemaju, Sunder berkata, dia sendiri telah beberapa kali bersemuka dengan pemaju projek Rumah Selangorku sebelum ini setiap kali wujud isu membabitkan pemohon dan jawapan diberikan pemaju adalah berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri.
 
“Saya sendiri bertanyakan pemaju sebelum ini dan mereka mendakwa isu yang timbul ini disebabkan kelemahan sistem kerajaan negeri, jadi saya amat ragu jika kerajaan negeri memberi alasan pemaju menjadi punca pembatalan sembilan projek ini terpaksa dilakukan,” ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: