Sabtu, 10 Februari 2018

Ahli semakin setia, PAS jangka gugur bai'ah talak tiga

ANTARA POS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS dijangka menggugurkan sumpah baiah talak tiga yang perlu dilafazkan calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berikutan kesetiaan ahli dan kekuatan parti itu didakwa semakin kukuh.
 
Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata kandungan sumpah baiah itu akan diselaraskan bagi setiap negeri dan dijangka tidak lagi menyentuh perceraian.
 
Beliau berkata, tindakan itu dilaksanakan berikutan parti tidak lagi berdepan keadaan genting seperti pernah berlaku dalam politik Kelantan.
 
Katanya, Kelantan sebelum ini pernah berdepan keadaan genting ibarat telur di hujung tanduk itu hingga memaksa bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat memasukkan kandungan sumpah baiah yang boleh menggugurkan talak ke atas isteri mereka.
 
"Oleh kerana kita sudah tidak lagi berdepan suasana genting seperti di Kelantan, kita akan selaraskan di seluruh negeri dan kemungkinan tidak akan ada lagi baiah membabitkan perceraian suami isteri.
 
"Secara umumnya sumpah baiah bermakna kita memberi ketaatan dan walak kepada parti, sekiranya melanggar baiah itu, maka secara umumnya Allah akan melaknat orang yang berbaiah itu," katanya dipetik Bh Online. 
 
Mengulas lanjut, Mahfodz berkata, sumpah baiah yang diamalkan PAS sejak sekian lama bukan sesuatu yang ekstrem, sebaliknya satu mekanisme dan pendekatan diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW dan menjadi cara terbaik untuk menjaga parti daripada tawaran musuh politik untuk wakil rakyat melompat parti.
 
Beliau berkata, sumpah baiah bertujuan mengikat wakil rakyat supaya kekal dalam parti dan jika tidak, dengan mudah wakil rakyat keluar serta merosakkan parti.
 
"Inilah cara terbaik yang sudah kita amalkan sejak sekian lama, bagi mereka yang sudah keluar PAS dan tidak mahu berbaiah, terpulang kepada mereka.
 
"Bagi PAS, sumpah baiah adalah satu cara mengikat ahli PAS menjadi wakil rakyat supaya sedar kemenangannya bukan kerana individu, sebaliknya atas kapasiti parti," katanya.
 
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi mendakwa sumpah baiah diamalkan PAS memberi implikasi negatif kepada dua pihak, selain memperlihatkan pendekatan parti itu yang ekstrem.
 
Beliau dilaporkan berkata, wakil rakyat yang melafazkan baiah PAS terutama membabitkan talak isteri, berdepan risiko kerana sumpah itu akan 'memakan diri' apabila tidak lagi bergelar pemimpin PAS

Tiada ulasan: