Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang
'membalas dendam' kepada PAS apabila sengaja melambat-lambatkan agihan
peruntukan wakil rakyat kepada 13 ADUN parti itu, kata penganalisis
politik, Edwin Michael Muniandy.
PAS, walaupun dipujuk bekali-kali untuk bersama dengan Pakatan Harapan
(PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetap nekad mahu menentang
gagasan itu berikutan enggan bekerjasama dengan DAP dan parti
serpihannya, Amanah.
Justeru Edwin berkata tidak mustahil Azmin menggunakan peluang ini
untuk mengenakan PAS, yang masih menjadi sebahagian daripada kerajaan
negeri Selangor, biarpun sudah memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan
PKR dan DAP.
"Ini yang kita panggil membalas dendam politik. Kita tahu bahawa PAS
dengan PH khususnya tidak pernah sebulu, senada dan tidak pernah
menyokong ideologi politik PH.
"Jadi ini adalah masa yang sesuai untuk PH membalas dendam terhadap
PAS. Apa yang kita kesalkan disini ialah bagaimana kesetiaan PAS
terhadap kerajaan negeri Selangor dibalas dengan cara politik yang cukup
kotor," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Exco Selangor yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad
mengesahkan hanya 13 ADUN PAS yang belum boleh menggunakan peruntukan
wakil rakyat, berikutan disekat di Pejabat Daerah masing-masing.
Azmin sebelum itu menafikan peruntukan ADUN PAS disekat namun mengatakan terdapat 'masalah teknikal'.
Selasa lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi memberikan kata
dua kepada Azmin untuk menyelesaikan isu peruntukan berkenaan sehingga
perayaan Tahun Baru Cina, sebelum pihaknya mengambil langkah susulan.
Kata dua itu diajukan kepada Azmin dan timbalan presiden PKR itu
berkata 'tulis lah surat, tak ada masalah', jika mahu berjumpa dengannya
bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Malah Azmin berseloroh mustahil beliau menafikan hak ADUN PAS sedangkan
kerajaan negeri tetap memberikan keistimewaan kepada wakil rakyat
Umno-Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
Azmin juga berkata beliau sedar peruntukan itu adalah untuk rakyat Selangor.
Mengulas perkara itu, Edwin berkata tidak wujud istilah 'berkhidmat untuk rakyat' dalam kamus PH selama ini.
"Kalau kita bercakap dalam konteks tanggungjawab politik kepada rakyat,
sebenarnya itu tidak wujud dalam kamus politik pembangkang.
"Rakyat tidak pernah wujud dalam kamus politik pembangkang, semuanya
tentang kuasa, perebutan kuasa dan siapa yang mendominasi siapa, siapa
yang memiliki status quo itu.
"Sama isu yang melibatkan Azmin dan PAS ini, walaupun ini adalah hak
rakyat, wang itu adalah untuk kebaikan rakyat tetapi politik dan kuasa
melebihi rakyat dalam konteks politik pembangkang ini," ujarnya lagi.
PAS Selangor sebelum ini mengumumkan akan meletakkan calon di 42 kerusi DUN negeri itu pada PRU14.
Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar dalam reaksinya
berkata PAS tidak sepatutnya memohon peruntukan itu kerana parti itu
nekad menentang gagasan itu pada pilihan raya akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan