Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Benarkah
Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang seorang yang angkuh?
Perangai buruk ini dikatakan telah dan akan mengakibatkan banyak pihak
yang hilang kepercayaan dan rasa hormat terhadap beliau dan mungkin juga
partinya, PAS.
Setakat ini, ada sekurang-kurangnya seorang ahli politik yang amat peka
sikap angkuh Hadi ini. Beliau ialah Pengarah Komunikasi Parti Amanah
Negara, Abdul Khalid Samad yang meramalkan rasa hormat umum terhadap
Hadi akan terus merosot, kecuali beliau berubah.
Khalid mendakwa ciri jatidiri Hadi itu selama ini tidak diketahui umum
kerana ia dilindungi ramai pemimpin PAS, terutama mereka yang kini sudah
berhijrah ke parti Amanah.
"Jika sebelum ini, bekas pemimpin PAS yang kini berada dalam Amanah
banyak membantu mengawal sikap Abdul Hadi yang angkuh dan ekstrim.
"Tanpa kami, sikapnya yang sebenar semakin terserlah. Dia suka
memperlekehkan parti lain, angkuh dan sombong, itulah sifat sebenar
Abdul Hadi," katanya.
Khalid mendakwa, Abdul Hadi sering melabelkan pihak lain dengan
pelbagai gelaran kerana berasa hanya dirinya hebat serta mengikut ajaran
Islam, manakala orang lain sebaliknya.
Jika demikian kedudukannya bermakna PAS, nampaknya akan berhadapan
keadaan politik suram. Apabila pemimpin parti tidak dihormati maka
lesulah masa depan parti berkenaan.
Hadi, 70 tahun, menjadi presiden PAS sejak 2002 menggantikan Datuk
Fadhil Nor yang pulang ke rahmatullah. Beliau menjadi Menteri Besar
Terengganu dari 1999 hingga 2004.
Hadi lulusan Universiti Islam Madinah (1969 – 1973) dan kemudian
Universiti Al Azhar. Beliau adalah Naib Presiden Kesatuan Ulama
Antarabangsa pimpinan Dr Yusuf al Qaradawi.
Apabila tamat pengajian di Timur Tengah, Hadi menganggotai Angkatan
Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dilantik menjadi Yang Dipertua
pergerakan itu di Selangor pada 1977.
Beliau menyertai PAS dan bertanding dalam pilihanraya 1978 dan menang
di Marang, Terengganu. Namanya harum dalam PAS dan dilantik Timbalan
Presiden pada 1989.
Sepanjang memimpin PAS, Hadi dikelilingi ulama. Jika beliau angkuh,
sudah tentu sukar diangkat menjadi Timbalan Presiden dalam 11 tahun
menganggotai PAS.
Pada 2002 Hadi menjadi Presiden PAS yang digandingi ulama-ulama besar
seperti Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan almarhum Datuk Dr
Harun Din. Jika benar dakwaan Khalid Samad sudah tentu Hadi tidak lulus
saringan moral kedua-dua mereka.
Dalam PRU 1986, Khalid tewas kepada calon BN di Kuala Krai. Sementara
dalam PRU 1999, Khalid dikalahkan calon UMNO di Parlimen Arau, Perlis.
Sementara dalam PRU 2004 beliau dikalahkan calon UMNO di Shah Alam.
Bagaimanapun apabila PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP, baru Khalid
berjaya menangalahkan calon UMNO di Shah Alam pada 2008 dan
mengulanginya pada PRU 2013.
Pada 1987, Khalid ditahan selama 9 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang.
Bagaimanapun Khalid adalah ahli politik ‘gempaq’ kerana rajin
memanfaatkan isu-isu kontroversi demi bertahan dalam politik. Meremehkan
wibawa Hadi adalah salah satu contohnya.
Apabila kumpulan profesional dalam PAS tewas dalam Muktamar PAS tiga
tahun lalu, Khalid dan pemimpin seumpamanya meninggalkan PAS dan
menubuhkan parti Amanah. Sejak itu, pusar kempen mereka ialah
menyebarkan kelemahan pimpinan Abdul Hadi.
Ketika Hadi terus mengutamakan kerja dakwah dalam berpolitik dengan
berpandukan konsep ‘matang dan sejahtera’, Amanah dan Khalid terus
menyebarkan dakyah bahawa Hadi berperangai buruk dan angkuh.
Konsep matang dan sejahtera Hadi termasuklah kesediaan bekerjasama
dengan mana-mana pihak (termasuk UMNO) yang memperjuangkan kepentingan
Islam dan umatnya, baik di dalam dan luar negara.
Sudah tentu di segi akhlak muslim, kelakuan Khalid ini sukar diterima.
Namun rekod Khalid memang bersifat provokatif dan keras. Khalid pernah
dihukum tidak layak berceramah agama di Selangor oleh Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS).
Pada 8 September 2011, MAIS menolak rayuan Khalid untuk ditauliahkan
berceramah agama di masjid dan surau di Selangor. Ini termasuklah
tazkirah, ceramah, kuliah selaras dengan perkenan Sultan Selangor.
Pada 6 September 2011, Khalid melanggar peraturan permit apabila memberi ceramah di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.
Pada 15 Julai 2014, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
murka terhadap Khalid Samad kerana mempersoalkan kuasa eksekutif Mais
dan mencadangkan kuasa itu ditarik balik.
Baginda memberi amaran supaya beliau lebih berhati-hati mengeluarkan
kenyataan namun Khalid membicarakan isu kuasa Sultan dan peranan Mais di
dalam menasihati Sultan mengenai agama Islam.
Pada 26 Ogos 2014, Khalid Abdul Samad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala
Lumpur, Jalan Duta atas tuduhan mengeluarkan pernyataan berbaur hasutan
berhubung kuasa eksekutif MAIS dalam satu sidang akhbar di lobi
Parlimen, 17 Jun 2014.
Pada 21 Ogos 2014, Khalid Samad menyatakan bahawa sultan tidak
sepatutnya diberi hak mutlak melantik menteri besar kerana sistem yang
menjadi amalan di negara ini adalah sistem raja berperlembagaan.
Khalid mendakwa penganjuran Majlis selawat ketika program”Cinta Allah
dan Rasul” di seluruh negara oleh kerajaan adalah retorik semata-mata.
Katanya, Kerajaan hanya “berlakon” menjalankan program keIslaman demi kepentingan politik.
Khalid dilihat mahu mempertahankan DAP apabila Mufti Pahang
mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam yang menentang usaha
memartabat Islam adalah kafir harbi.
Khalid mengkritik Mufti berkenaan dan mahu beliau disiasat kerana menghasut.
Khalid adalah Pengarah Komunikasi Amanah. Soalnya, adakah tindak
tanduknya direstui Amanah?
Jika demikian, maka akan lebih murunglah
nasib parti itu kerana bergantung pada propagandis ‘kurang matang’
seperti Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan