Ahad, 11 Februari 2018

‘Kerajaan yang gagal urus JPPM, bukan PPBM tak mampu tadbir parti’

 
Ia susulan kritikan Najib Razak terhadap PPBM yang gagal dalam percubaan meniru perlembagaan Umno kerana pemimpin parti itu gagal mentadbir PPBM dengan baik sehingga mengundang rasa tidak puas hati ahlinya.


Kamaruddin-Mohd-Noor_ppbm_ros_600


PETALING JAYA: PPBM hari ini menyalahkan Datuk Seri Najib Razak gagal menguruskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), bukannya pemimpin mereka yang tidak mampu mentadbir parti baharu itu.

“Sebenarnya bukan kita gagal mengurus parti, yang gagal adalah kerajaan menguruskan JPPM (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).

“Kita dah berbulan-bulan membuat permohonan dan kita dah hantar laporan pemilihan, tapi sampai sekarang tidak ada apa-apa jawapan sama ada lulus ke tak, lulus ini tidak ada gantung tidak bertali,” kata Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Noor kepada FMT merujuk pendaftaran Pakatan Harapan (PH) yang belum diluluskan JPPM.

“Sebelum dia (Najib) komen kita punya pentadbiran parti, mereka sepatutnya selesaikan pengurusan di peringkat JPPM dulu.”

Semalam, Najib ketika berucap di Muar mempersoalkan bagaimana “parti bunga” itu hendak mentadbir negara, jika pemimpinnya tidak mampu mentadbir parti sendiri.

Najib yang juga presiden Umno berkata, pentadbiran dan perlembagaan Umno mempunyai tertib tersendiri, contohnya mesyuarat bahagian dibuat selepas mesyuarat cawangan, namun perkara sebaliknya berlaku dalam ”parti bunga”.

Tanpa menamakan parti berkenaan, Najib merujuk PPBM yang diterajui bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggunakan bunga sebagai lambang parti.

Katanya, parti pembangkang itu cuba meniru perlembagaan Umno, namun percubaan itu gagal apabila pemimpin gagal mentadbir parti dengan baik sehingga mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ahlinya.

Ucapan perdana menteri itu dipercayai merujuk kepada 400 ahli PPBM membuat aduan kepada JPPM kononnya pemilihan parti itu baru-baru ini melanggar perlembagaannya.

Pada 12 Januari lalu, JPPM berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan yang diterima berkaitan isu perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM pada Disember lalu.

Susulan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PH dan PPBM menyifatkan aduan itu sebagai taktik kotor dan usaha pihak tertentu untuk memastikan gabungan 4 parti pembangkang itu tidak dapat didaftarkan.

Sebelum ini, JPPM berkata, kegagalan PPBM mengadakan perhimpunan tahunan sebagai salah satu sebab PH yang dianggotai parti itu tidak diluluskan.

Susulan itu, PPBM mengadakan AGM pertama di Shah Alam pada 30 Disember lalu, lebih setahun selepas didaftarkan pada September 2016.

Mengulas lanjut, Kamaruddin mendakwa tindakan 400 ahli PPBM membuat aduan kepada JPPM didalangi kerajaan untuk mengganggu perjalanan parti itu.

“Itu didalangi mereka, kalau ahli betul ada apa-apa rasa terkilan, dia akan datang mengadu dengan kita, bukan mengadu kepada JPPM.

“Ada ke patut anak kita nak buat aduan kepada orang lain, sedangkan bapa dia ada, mak dia ada, bukan (buat) aduan kepada orang lain, ada tangan ghaib di sebalik perkara ini,” katanya sambil memaklumkan hanya sebahagian ahli yang membuat aduan, bukan kebanyakan ahli PPBM.

Beliau turut menyifatkan tindakan ahli keluar atau masuk parti merupakan perkara biasa bagi parti politik, termasuk Umno sendiri yang didakwanya antara parti paling teruk berdepan fenomena itu.

“Setiap orang masuk dan keluar parti ini satu perkara biasa, tidak ada parti yang bebas daripada ahlinya keluar dan masuk, lebih-lebih lagi Umno.”

Tiada ulasan: